Home Nasional Beri pampasan sewajarnya kepada pekerja News Straits Times, Media Prima

Beri pampasan sewajarnya kepada pekerja News Straits Times, Media Prima

KUALA LUMPUR- Gerakan Media Merdeka (Geramm) memandang serius pelan pengurangan pekerja yang bakal dijalankan Media Prima Bhd.

Menurut sumber, latihan pemberhentian dijangka melibatkan lebih daripada 1,000 kakitangan yang terdiri daripada akhbar-akhbar di bawah kumpulan media News Straits Times Bhd serta Media Prima.

Surat pemberitahuan dijangka diserahkan esok, walaupun difahamkan bahawa beberapa pekerja yang terlibat telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang nasib mereka.

Geramm berkata, walaupun keputusan itu dibuat untuk memastikan kesinambungan operasi perniagaan, pihaknya sangat berharap semua pekerja yang terlibat diberi pampasan sewajarnya.

Menurutnya, kenyataan ini dibuat berikutan aduan bahawa peringkat pengurusan syarikat tersebut menikmati gaji yang besar selama bertahun-tahun dan menyumbang kepada masalah kewangan syarikat.

Difahamkan bahawa individu-individu ini telah diletakkan dalam jawatan yang berkaitan dengan bukan editorial, contohnya jabatan pengiklanan dan pengurusan.

“Kami menggesa agar lebih banyak perhatian dan tumpuan diberi kepada kakitangan yang hidupnya bergantung kepada industri media di Malaysia,” kata Geramm.

Pada peringkat ini juga, Geramm mahu menarik perhatian kepada pemilik media dengan hubungan langsung atau hubungan dengan entiti politik atau pemimpin.

Walaupun tidak ada undang-undang yang menghalang amalan sedemikian, kebimbangan sebenar – baik di Malaysia dan negara lain – adalah bagaimana ia terus membatasi peranan wartawan sebagai ejen periksa dan imbang serta untuk menyampaikan maklumat untuk rakyat.

“Geramm menyuarakan pandangan rakan-rakan kita bahawa keadaan semasa tidak boleh dipolitikkan oleh mana-mana pihak demi kepentingan masing-masing.

“Percubaan untuk mempolitikkan keadaan tidak akan membantu teman-teman kita yang memerlukan, tetapi hanya berfungsi untuk memperburuk keadaan mereka yang sudah malang,” ujarnya. – MalaysiaGazette