KUALA LUMPUR – Tahun 2020 akan menjadi tempoh masa yang mencabar dan sukar buat rakyat Malaysia kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan isu dan masalah yang timbul sejak memerintah negara.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kerajaan PH juga telah membuang masa setahun memerintah negara dengan tiada apa-apa pembaharuan dan polisi yang cekap, malah mengundang kepada lebih banyak kegagalan khasnya dalam konteks pertumbuhan ekonomi.
Jelas beliau sepanjang tahun ini, ekonomi negara semakin hilang daya saing di bawah kerajaan PH dengan menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia adalah lemah dan tidak berkembang dengan purata 4.6 peratus serta peningkatan aliran keluar pelabur asing berjumlah RM 700.2 juta pada minggu lalu.
“Selain itu, selama tempoh setahun, kerajaan juga gagal menyelesaikan masalah ekonomi rakyat seperti 60 peratus siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama masih menganggur selepas tamat pengajian dan kadar pengangguran belia meningkat kepada 10.92 peratus. Apakah yang dilakukan kerajaan sepanjang tahun 2019?
“Kerajaan PH hanya mahir menyalahkan rakyat atas kelembapan ekonomi dengan mengatakan ekonomi Malaysia akan jatuh merudum sekiranya rakyat tidak berbelanja. Soalnya bagaimanakah rakyat hendak berbelanja jika tidak mempunyai kuasa beli yang tinggi?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terenganu menambah kegagalan kerajaan PH juga melibatkan aspek dagangan antarabangsa apabila syarikat penapis minyak sawit India mula menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan menjejaskan pekebun kecil seramai 762,635 orang.
Tegas beliau, terlalu banyak kegagalan yang hendak disenaraikan yang akhirnya menyebabkan rakyat semakin tertindas dan tertekan.
Menurutnya, tahun 2020 akan menjadi lebih mencabar dan perlaksanaan manifesto seperti didakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tidak akan menyumbang apa-apa kepada kepentingan awam.
“Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang berfungsi iaitu melindungi kebajikan dan kepentingan awam bukannya sebuah kerajaan yang gagal dan hanya mementingkan perebutan kuasa.
“Persoalannya ialah kita akan menghadapi tahun yang sangat mencabar dibawah pemerintahan kerajaan PH terutama sekali melibatkan aspek pertumbuhan ekonomi, daya saing global, kebajikan rakyat, isu keselamatan dan juga keharmonian di mana kerajaan PH gagal melaksanakan kesemua agenda ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Biar rakyat nampak perkara yg sbnrnya…btl ke tdk kerja mrk utk rakyat..