KUALA LUMPUR – Takaful Malaysia menyampaikan bayaran tuntutan manfaat kematian berjumlah RM500,000 kepada waris empat ahli keluarga yang terkorban di dalam kemalangan di New Zealand baru-baru ini.
Bayaran tersebut di bawah pelan takaful Perjalanan Kemalangan Diri.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, sebagai penanggung insurans, pihaknya memahami dan berpengalaman melihat secara langsung betapa dahsyatnya impak sesebuah kemalangan seperti yang menimpa keluarga ini.
“Wang ringgit tidak mampu menggantikan trauma dan kerugian yang dialami oleh ahli keluarga waris. Tetapi kami mampu meringankan beban keluarga ini dengan memproses bayaran tuntutan mereka, terutama untuk anak
bongsu, mangsa tunggal yang terselamat dan sedang dirawat di Hospital Wellington,” katanya.
Semua mangsa tersebut dilindungi di bawah pelan takaful keluarga Takaful myTravel PA yang menyediakan manfaat dan perlindungan komprehensif, termasuk perlindungan terhadap kecederaan atau kematian, kesulitan perjalanan dan perbelanjaan perubatan semasa di luar negara.
Ini menunjukkan insurans memainkan peranan penting dalam kesejahteraan kewangan, jaminan
kewangan pada saat genting, terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang tidak diingini, kata Mohamed Hassan.
Pengurus Besar Bahagian Sumber Manusia Takaful Malaysia, Shuhaibahtulaslamiah Hurmuzan bersama Pengurus Perniagaan Kanan Pejabat Jualan Takaful Malaysia Cawangan Kota Kinabalu, Lani Lait menyampaikan bayaran tuntutan tersebut semasa lawatan ziarah kepada anak saudara Dr Rumihati Abd Hamid, iaitu Afifah Shaiffuddin.
Mohamed Hassan berkata, pihak pengurusan dan kakitangan Takaful Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap anak perempuan bongsu pasangan tersebut, Nur Arifah yang dilaporkan stabil akan tabah dan kuat menghadapi berita sedih yang menimpa keluarganya.
“Tragedi ini amat mendukacitakan kepada keluarga mangsa dan Takaful Malaysia melalui inisiatif korporat akan sentiasa menyokong masyarakat dan menghulurkan tangan di mana mungkin,” ujarnya. – MalaysiaGazette