Home Nasional 2 lelaki samun RM231,000 dari pekerja van keselamatan di Pulau Pinang

2 lelaki samun RM231,000 dari pekerja van keselamatan di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Dua lelaki mengambil masa tidak sampai 5 minit untuk melarikan wang sebanyak RM231,000 daripada pekerja sebuah syarikat keselamatan yang mahu memasukkan wang itu ke sebuah bank di Sungai Nibong Kecil, dekat sini dalam satu kejadian samun hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.51 pagi itu, sebuah van syarikat keselamatan yang baru mengambil wang hasil jualan sebuah pasar raya di Bukit Jambul, dekat sini berhenti di hadapan bank berkenaan untuk memasukkan duit.

“Semasa kejadian itu terdapat 3 lelaki, yang merupakan pekerja syarikat keselamatan dalam van tersebut, termasuk pemandu serta pengawal.

“Mereka membawa 3 beg berisi wang yang diambil dari sebuah pasar raya di Bukit Jambul.

“Kejadian samun itu berlaku semasa seorang pekerja mengeluarkan duit dari van untuk dibawa ke dalam bank dengan memegang 2 beg serta menggalas 1 beg.

“Semasa dia keluar dari van tiba-tiba seorang lelaki datang dari arah belakang sebelum meragut beg dipegangnya,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Katanya, lelaki itu meragut beg yang dipegang di sebelah tangan kiri mangsa dan pekerja tersebut cuba melawan, namun suspek memukul mukanya dengan menggunakan senjata menyerupai pistol sebelum melarikan diri bersama satu beg mengandungi wang sebanyak RM231,000.

Soffian berkata, pemandu van syarikat keselamatan yang melihat kejadian tersebut telah mengambil senjata di dalam van dan memberikannya kepada pengawal sebelum dia bertindak mengejar, bagaimanapun suspek berjaya meloloskan diri.

“Suspek yang meragut beg itu melarikan diri melalui tangga hadapan bank dan terus menuju ke arah sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki, rakan sejenayahnya. Mereka menaiki motosikal jenis Yamaha Y110 dengan nombor pendaftaran BEY 408,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati motosikal yang digunakan 2 suspek itu dilaporkan hilang di Subang Jaya, Selangor beberapa tahun lepas.

Beliau berkata, terdapat kamera litar tertutup di kawasan kejadian dan polis kini sedang meneliti rakamannya bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian samun tersebut.

“Berikutan kejadian itu, polis mengadakan sekatan jalan raya di semua lokasi masuk serta keluar bahagian pulau menghala seberang, termasuk di kedua-dua jambatan Pulau Pinang bagi mengesan suspek.

“Usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.- BERNAMA

+ posts