Home Nasional Jangan guna beras tamat tempoh

Jangan guna beras tamat tempoh

Dr Azman Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar tidak memakan nasi dengan menggunakan beras yang sudah tamat tempoh.

Langkah itu adalah sebagai satu tindakan “Food Security” (kawalan makanan) yang perlu difahami oleh segenap lapisan masyarakat demi menjaga kesihatan diri dan keluarga, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata, memperbesarkan produk dari luar berbanding negara sendiri terutamanya melibatkan beras tanpa mengkaji terlebih dahulu seolah-olah menjadi trend pada masa kini.

“Contoh beras di Thailand. Selepas dikilangkan, beras mesti habis dijual dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Selepas itu ia dianggap beras yang tidak lagi berkualiti untuk dimakan oleh manusia dan mesti dilupuskan sebagai makanan ternakan. Tetapi, saya yakin bahawa bukan semua ‘beras luput’ ini dijadikan makanan ternakan.

“Saya bimbang orang Thailand sudah tidak makan tetapi kita di Malaysia yang rasa hebat apabila boleh makan beras Siam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Azman berkata, masyarakat seharusnya mengambil berat soal kualiti makanan harian berbanding dengan hanya sekadar mengikut trend dan memilih beras yang berharga murah semata-mata.

Katanya, rakyat perlu menyedari dan memahami mengenai kepentingan ‘Food Security’ tanpa perlu berbangga dengan produk makanan asasi keluaran dari negara luar. – MalaysiaGazette