Home Nasional Kerajaan pasang CCTV pantau sungai di ibu kota

Kerajaan pasang CCTV pantau sungai di ibu kota

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah) beramah mesra bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Pengiktirafan Tokoh Setempat Sungai Klang di bawah Public Outreach Program (POP) bagi Projek River of Life (ROL) di Masjid Jamek Lookout Point, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang kawasan sungai di ibu negara sebagai langkah mengawal aktiviti pencemaran sumber air itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu adalah sebagai satu cara memelihara Wilayah Persekutuan sebagai sebagai Bandar Pintar (Smart City).

“Kita perlu pertingkatkan tambah CCTV dan sebagainya untuk mengajar masyarakat dalam hal ini (penjagaan sungai). Selagi tidak kena denda, orang masih tidak ambil berat,” katanya ketika ditemui pemberita menyampaikan Anugerah ROLPOP 5 2019 di sini malam ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan saliran (JPS), Datuk Ir. Abdullah Isnin dan Duta ROL, Maya Karin.

Khalid berkata, kerajaan telah berbelanja berbilion ringgit untuk membersihakan sungai namun tanpa bantuan dan kesedaran daripada masyarakat untuk menjaga dan mengharai sungai tidak akan bermakna.

Tambah beliau, kerajaan telah merangka pelbagai program bersama masyarakat sejak tahun pertama pelaksanaannya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Khalid menggesa masyarakat supaya menjadi ‘mata dan telinga’ kepada agensi penguatkuasaan berhubung aktiviti pencemaran sungai seperti pembuangan sampah serta aktiviti mencemarkan tebing sungai.

Katanya, penduduk juga perlu diberi maklumat berkaitan penggunaan aplikasi Citizen’s Eye supaya mereka dapat melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan sungai.

“Pelbagai cabaran diharungi dalam usaha untuk menjayakan projek Projek River Of Life (ROL). Salah satu cabaran tersebut adalah usaha pendekatan awam iaitu mengajak masyarakat bersama-sama memahami kepentingan untuk memelihara sungai,” ujarnya

Pada majlis itu seramai 31 aktivitis diiktiraf atas sumbangan mereka dalam memulihara Sungai Klang – Program Pendekatan Awam Fasa 5 ROL.

Pengiktirafan yang julung kali diadakan di bawah projek ROL bertujuan untuk mengiktiraf usaha warga kota atas komitmen dan sumbangan mereka meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan penjagaan sungai.

Program pembersihan sungai termasuk program sungai angkat, kebun komuniti, sifar sisa dan sebagainya telah mendapat penyertaan serta penglibatan lebih 10,000 orang awam dan pelbagai organisasi. – MalaysiaGazette