Home Nasional Kes Yusoff: Polis sedia buat ujian poligraf jika ada keperluan

Kes Yusoff: Polis sedia buat ujian poligraf jika ada keperluan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedia melakukan ujian poligraf kepada Muhammed Yusoff Rawther bagi membantu siasatan dakwaan serangan seksual oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ujian poligraf hanya akan dijalankan ke atas Muhammed Yusoff sekiranya ada keperluan.

“Itu dia punya pandangan (Haniff Katri). Kalau ada keperluan kita buat (ujian poligraf),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor hari ini.

Beliau mengulas kenyataan peguam Mohamed Haniff Katri Abdulla hari ini berhubung kesediaan anak guamnya untuk menjalani ujian poligraf.

Menurut Haniff, anak guamnya sedia bekerjasama dengan pihak polis pada bila-bila masa untuk menjalani ujian poligraf.

Mohamed Haniff juga berkata, ujian poligraf itu adalah bertujuan semata-mata untuk kegunaan di mahkamah bagi menyokong laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Dalam pada itu, menurut Huzir lagi, pihaknya perlu melengkapkan siasatan termasuk memanggil beberapa saksi bagi memastikan SD berkenaan mempunyai kebenaran atau sebaliknya.

“Beberapa orang kita tak boleh berikan bilangan spesifik, beberapa orang itu (saksi) adalah terbaik setakat ini.

“Mungkin hari ini ada lima orang, esok tambah lagi enam orang. Sebab itu kita perlu siasat dulu, untuk mencari kebenaran SD Yusoff,” katanya.

Dalam pada itu, Huzir memberitahu, pihaknya kini telah memanggil lapan orang saksi bagi membantu siasatan kes cubaan sodomi itu.

“Seramai lapan orang saksi telah kita rakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Seterusnya ada beberapa lagi saksi yang perlu kita pangggil untuk rakam percakapan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Yusoff Rawther sedia jalani ujian poligraf – Haniff Khatri