KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut akibat tersepit selepas kereta yang dipandunya melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Parlimen, di sini hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, S. Thirugaiyah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.22 pagi.
Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah kereta melanggar pembahagi jalan dan terbalik.
“Pelanggaran itu mengakibatkan pemandu kereta berkenaan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Tiada sebarang dokumen ditemui bersama mangsa dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.
Sementara itu, jurucakap polis memberitahu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chern Mun Onn, 27, berasal dari Jalan Rejang Taman Setapak.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette