Home Nasional Penjaja Bazaria Wangsa Maju nikmati pengecualian bayaran tiga bulan

Penjaja Bazaria Wangsa Maju nikmati pengecualian bayaran tiga bulan

Menteri Wilayah Persektuan, Khalid Abdul Samad bercakap pada sidang media berkenaan “Tapak Uptown Danau Kota” di Bilik Mesyuarat, Menara DBKL, Kuala LUmpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Penjaja-penjaja Bazar Larut Malam Danau Kota yang dipindahkan ke Bazaria Wangsa Maju akan menikmati pengecualian bayaran sewa tapak selama tiga bulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang mengumumkan perkara itu berkata, pengecualian tersebut adalah sebagai menghargai persetujuan mereka untuk berpindah ke tapak menjaja baharu yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun beliau berkata, penjaja hanya perlu membayar lesen untuk menjalankan perniagaan dan pengecualian bayaran sewa tapak selama tiga bulan itu diberikan sempena sambutan tahun baharu.

“Kita nak bantu penjaja ini dan bagi mereka yang tidak ada lesen mereka kena ambil. Kita tidak mahu mengganggu atau menyekat mereka menjaja. Mereka kena ambil lesen dan kita akan benarkan mereka untuk berniaga.

“Semua yang dimasukkan (dipindah) ke tapak baharu adalah mereka yang telah dibanci dan merupakan peniaga dari tapak lama, sebahagian ada lesen dan sebahagian lagi tiada. Mereka juga ada yang sewa tapak selain dari DBKL ,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Khalid berkata, ramai penjaja di Kuala Lumpur menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan dengan membayar kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Malah katanya, kutipan bayaran yang sepatutnya dibuat kepada DBKL telah diambil oleh pihak terbabit yang cuba mengambil keuntungan dan perkara itu perlu dihentikan.

“Perkara ini sudah menjadi budaya bertahun-tahun dan kita nak bersihkan satu persatu dan kita perlu buat yang utama dahulu.

“Ini kita perlukan maklum balas daripada Ahli Parlimen dan MPP bukan bertindak ikut suka. Kita akan bertindak yang terbaik untuk penjaja,” ujarnya.

Dalam pada itu Khalid berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan adalah mahu memastikan penjaja tidak membuat bayaran kepada orang tengah.

Ini kerana katanya, tidak ada kawalan dibuat sekiranya penjaja membuat bayaran kepada pihak terbabit hingga menyebabkan mereka bertindak dengan sesuka hati.

Ujarnya, pihak tengah itu pula tidak membuat bayaran kepada DBKL dan hasilnya masuk ke poket mereka dengan menggunakan alasan bayaran telah dibuat kepada sebuah persatuan.

“Benda-benda macam inilah yang kita hendak perbaiki kerana kita nak jadikan Kuala Lumpur ini sebuah bandaraya maju,” tambah beliau.

Terdahulu, pada sidang media itu Khalid memaklumkan pemindahan kira-kira 408 tapak penjaja Bazar Larut Malam Danau Kota ke Bazaria Wangsa Maju.

Daripada 500 penjaja yang dibanci sehingga 12 Disember tahun ini, sejumlah 408 penjaja telah mengambil surat tawaran dan seramai 34 penjaja telahpun menjelaskan pembayaran lesen dan penyewaan. – MalaysiaGazette