Home Asnb PNB jual Plaza Damansara kerana tak selari portfolio hartanah

PNB jual Plaza Damansara kerana tak selari portfolio hartanah

Presiden PNB, Jalil Rasheed (kanan) bersama Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bercakap kepada media selepas kemas kini 4Q2019 dan Pengumuman Amanah Saham Bumiputera (ASB) di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Kadar pendudukan yang rendah iaitu sekitar 60 peratus sahaja merupakan antara penyebab mengapa Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menjual Plaza Damansara yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed, selain kadar pendudukan yang rendah, pengurusan rumah kedai juga tidak memberikan pulangan yang diharapkan.

“Ia menyukarkan kami mendapatkan pulangan yang kami mahu.

“Apabila kami melihat semula portfolio hartanah, kami membuat keputusan tidak mahu lagi memiliki Plaza Damansara.

“Kami tidak mahu lagi memiliki kompleks rumah kedai dan mempunyai pelbagai jenis penyewa. Kita tidak bercakap mengenai satu atau dua lot rumah kedai tetapi (Plaza Damansara) memiliki lebih 100 lot.

“Kami mahukan portfolio hartanah PNB yang lebih fokus,” katanya semasa sidang media pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera serta perkembangan terkini PNB 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, penjualan kompleks rumah kedai itu adalah sebahagian daripada strategi PNB untuk mengitar semula modal bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

“Kami melihat terdapat peluang untuk mengoptimumkan pelaburan, jadi kami rebut peluang tersebut.

“Tambahan pula, kami mendapat peluang untuk menjualnya secara en bloc dan bukan seunit demi seunit,” katanya lagi.

PNB bagaimanapun tidak mendedahkan butiran transaksi penjualan berkenaan.-MalaysiaGazette