KUALA LUMPUR- “Saya berpuas hati kerana keadaan sangat mencabar,” kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz ketika ditanya apakah beliau berpuas hati dengan agihan pendapatan Amanah Saham Berhad (ASB) yang diumumkan hari ini.
PNB mengumumkan agihan pendapatan ASB 2019 sebanyak lima sen ditambah bonus sebanyak 0.50 sen, kadar terendah dalam sejarah.
Jelas Zeti, kadar tersebut meskipun paling rendah dalam sejarah ASB namun masih kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen lain seperti deposit tetap malah lebih baik berbanding prestasi indeks penanda FBMKLCI.
Katanya, PNB perlu mendidik pelabur supaya tidak membuat perbandingan kadar agihan pendapatan mengikut tahun secara khusus sebaliknya perlu melihat dari segi keseluruhan.
“Ada tahun yang baik dan ada tahun yang sangat mencabar tetapi jika kita membuat keseluruhan pelaburan dalam pasaran ekuiti domestik, kita mungkin akan mengalami kerugian dan langsung tidak mendapat pulangan.
“Jadi, apabila kita masih mampu menjana pulangan positif melebihi penanda aras lain, di sinilah kami merasa kepuasan tetapi kami mahu terus cemerlang dan melakukan diversifikasi pelaburan di peringkat antarabangsa,” katanya semasa sidang media selepas mengumumkan agihan pendapatan ASB 2019 di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Jalil Rasheed.
Menurut Jalil, selaku sebuah syarikat pengurusan dana, kadar agihan pendapatan ASB sebenarnya 13 peratus lebih baik daripada prestasi purata pasaran di FBMKLCI dan 2.5 peratus lebih baik berbanding deposit tetap.
“Jika dilihat kepada pasaran yang sangat mencabar ini, PNB sebenarnya telah melakukan yang terbaik apabila mampu mengagihkan pendapatan sebanyak RM9 bilion,” katanya.
Ketika ditanya mengenai respon pelabur yang mungkin tidak gembira dengan kadar berkenaan, Jalil berkata, ASB mempunyai ciri-ciri unik yang tidak ada pada dana lain iaitu ianya sebuah dana berharga tetap.
Ini bermakna, para pemegang unit tidak perlu menanggung risiko berlakunya kerugian.
“Mereka melabur RM1 dan mereka boleh mengeluarkan RM1 itu. Tambahan pula, sejak dilancarkan pada 1990 ASB mampu memberikan pulangan secara konsisten setiap tahun.
“Kita beri kadar yang baik tetapi seperti yang dinyatakan Tan Sri tadi, kami perlu terus mendidik pelabur yang mana PNB adalah sebuah firma pengurusan pelaburan yang mana kami juga terdedah kepada turun naik pasaran dan perkara-perkara yang mempengaruhinya,” katanya lagi.
Agihan pendapatan 5.50 sen seunit dan bonus sebanyak 0.5 sen itu melibatkan pembayaran RM9 bilion dan akan dinikmati oleh 10 juta pemegang saham yang memiliki 167.2 bilion unit dalam ASB.- MalaysiaGazette
puas hati apa 5.5% . simpanan tetap kat bank pun lagi tinggi.