Home Nasional Bangunan Sultan Iskandar terima ancaman bom

Bangunan Sultan Iskandar terima ancaman bom

Bangunan Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Penduduk bandaraya ini gempar malam tadi apabila Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini menerima ancaman bom.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan pasukan bomba, Pasukan Tindakan Khas (PTK) bangunan dan pihak kesihatan menyekat semua laluan keluar masuk ke bangunan terbabit.

Bangunan berkenaan turut dikosongkan setelah Unit Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor mengambil alih tindakan untuk memusnahkan bom.

Dalam kejadian pada pukul 10.50 malam, seorang anggota polis yang bertugas di laluan bas BSI cedera selepas ditikam oleh seorang suspek lelaki yang dipercayai dalang kejadian itu , namun suspek berkenaan gagal melarikan diri apabila berjaya ditahan oleh pihak berkuasa di lokasi sama.

Namun rentetan ini bukanlah kejadian sebenar, sebaliknya satu simulasi latihan pengungsian bangunan yang diadakan sejak 2011 mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais, latihan simulasi berdurasi satu jam 20 minit itu disertai 492 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PTK bangunan, Angkatan Pertahanan Awam dan pasukan kesihatan.

Katanya, latihan pada tahun ini antaranya bertujuan menguji keberkesanan perintah tetap operasi pengungsian bangunan dari segi masa bertindak pasukan penyelamat dan pasukan bantuan.

“Kerjasama daripada kesemua yang terlibat dan orang awam sangat baik, sistem penggera dan pemberitahuan di bangunan ini juga berfungsi dengan baik.

“Latihan ini bukan sahaja dapat beri kemahiran kepada petugas di sini, tetapi ia juga beri pengalaman kepada pengguna sendiri..diharapkan pengalaman ini dapat digunakan di kesemua pintu masuk negara,” katanya selepas latihan pengungsian itu berakhir kira-kira 2 pagi tadi.

Shahurinain turut menjelaskan hebahan mengenai latihan pengungsian terbabit juga telah dilakukan sejak tiga hari lepas.

“Kesesakan memang berlaku tetapi keselamatan bangunan kita utamakan..dan kesesakan itu boleh dikawal dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette