Home Ekonomi CEO Fortune 500 risau tarif, ketegangan perdagangan

CEO Fortune 500 risau tarif, ketegangan perdagangan

WASHINGTON – Tarif dan ketegangan perdagangan merupakan sumber utama kebimbangan bagi syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dan hampir separuh entiti Fortune 500 turut merujuk kepada faktor tersebut.

Dewan Perdagangan AS berkata, tarif atau ketegangan perdagangan dan kesannya terhadap prestasi perniagaan dirujuk sebanyak 1,150 kali sepanjang 188 daripada 437 panggilan bagi membincangkan keputusan kewangan suku tahun yang dilaksanakan dari akhir bulan Ogos hingga akhir November lalu.

Tahap tertinggi kebimbangan yang disuarakan oleh sektor runcit – yang terjejas terus akibat tarif sejak 17 bulan lalu, diikuti oleh firma perkilangan dan syarikat pengangkutan dan logistik, kata dewan itu.

Kumpulan itu, yang mewakili lebih dari 3 juta syarikat AS berkata, dapatan itu dijejaki dengan hasil yang dilihat pada suku tahun sebelumnya, menekankan kebimbangan mendalam mengenai konflik perdagangan semasa dan potensi.

AS dan China telah mencapai perjanjian perdagangan fasa pertama yang akan mengurangkan sebahagian tarif semasa dan menamatkan tarif lain-lain.

Komitmen China untuk membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan AS masih belum didedahkan.

Pakar perdagangan memberi amaran bahawa ketegangan antara AS dan China akan meningkat lagi, memacu gelombang baru tarif.

Pentadbiran Trump juga mensasarkan apa yang dianggap sebagai ketidakseimbangan perdagangan dengan Eropah.

Dewan Perdagangan AS minggu lalu mengalu-alukan perjanjian perdagangan China, tetapi mendesak dua ekonomi terbesar di dunia untuk membuat kesepakatan yang lebih luas dalam tempoh enam bulan dalam menangani isu-isu lebih mendalam yang menghalang keupayaan syarikat AS untuk bersaing secara global.

Ia berkata, rundingan seterusnya harus menangani isu-isu struktural seperti “subsidi besar-besaran China, diskriminasi digital dan data, dan pelbagai kebimbangan pemindahan terpaksa teknologi.” – MalaysiaGazette