Home Nasional Iran cadang wujudkan mata wang kripto negara Islam

Iran cadang wujudkan mata wang kripto negara Islam

Presiden Iran, Hassan Rouhani (tengah) berjalan keluar pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Iran mencadangkan negara-negara Islam mengukuhkan kerjasama dalam bidang kewangan yang melibatkan perbankan, monetari dan insurans.

Selain itu Presidennya, Hassan Rouhani mengesyorkan supaya satu matawang kripto bersepadu diwujudkan untuk kegunaan negara-negara Islam.

“Kita boleh mewujudkan matawang kripto bersepadu dengan kerjasama dengan bank-bank pusat negara masing-masing.

“Kita mampu mengeluarkan matawang sendiri untuk negara-negara Islam.

Ini bagi mengurangkan pergantungan terhadap matawang asing yang terdedah dengan ancaman dan nilainya yang mudah turun-naik,” katanya semasa menyampaikan ucapan di persidangan meja bulat sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Tambah Hassan, banyak sektor yang boleh diterokai oleh negara-negara Islam sekiranya jalinan kerjasama di antara negara dapat diperkukuhkan.

Antaranya adalah bidang teknologi di mana banyak negara Islam telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang.

Iran sendiri katanya, terpaksa membangunkan teknologi sendiri antaranya dalam bidang minyak dan gas apabila dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat sehingga menyebabkan negara itu perlu berdikari untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

“Sekarang kami sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri sepenuhnya. Kami mempunyai kuasa untuk melengkapi industri-industri lain termasuk dalam bidang pertahanan,” katanya lagi.

Selain itu, menurut Hasaan, negara-negara Islam juga perlu bekerjasama dalam bidang perdagangan terutamanya makanan halal.

Katanya, sektor itu mempunyai potensi yang cerah kerana turut mendapat permintaan daripada golongan bukan Islam.

Antara sektor lain yang dicadangkan beliau adalah bidang transnasional, transit dan pengangkutan serta pelancongan.

“Kita memikul tanggung jawab yang besar terhadap ummah.

“Kita perlu menghapuskan halangan-halangan yang menyebabkan umat Islam tidak boleh maju ke hadapan dan hidup dalam kemiskinan,” tegasnya.- MalaysiaGazette