Home Nasional MB Johor pantau banjir dari jauh

MB Johor pantau banjir dari jauh

Dr. Sahruddin Jamal.

KUALA LUMPUR – Lawatan Dr Sahruddin Jamal ke Mesir dan Jordan sudah dijadualkan lebih awal sebelum banjir melanda negeri itu.

Malah, Pejabat Menteri Besar Johor berkata, Dr Sahruddin Jamal telah pun melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah yang dilanda banjir.

Sahruddin juga telah melakukan tinjauan udara bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis.

Tambahnya, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, sama ada di peringkat negeri mahu pun daerah telah menyelaras segala keperluan bagi memastikan semua berada dalam keadaan siap siaga dan sentiasa memberikan maklumat terkini secara terus kepada Menteri Besar Johor.

“Dr Sahruddin Jamal sentiasa mengikuti rapat situasi banjir di Negeri Johor pada ketika ini, malah memantau perkembangan dari masa ke masa,” kata Pejabat Menteri Besar itu dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, trend bencana banjir di Johor juga sudah menunjukkan penurunan.

Sehingga jam 8 pagi tadi, sejumlah 2,669 mangsa direkodkan berbanding 9,151 pada 16 Disember lalu.

Pejabat itu menjelaskan, lawatan kerja ini adalah komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk memperkasakan pendidikan Islam Johor melalui kerjasama yang terjalin antara Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Universiti Al-Azhar dan universiti-universiti Jordan.

Kemuncak kepada lawatan kerja Kerajaan Negeri Johor ke Timur Tengah adalah Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan universiti-universiti di Jordan.

Sahruddin dan delegasi rombongan akan bertemu dengan anak Johor di sana bagi menyelesaikan beberapa isu melibatkan soal kemudahan, kebajikan serta keselesaan pelajar-pelajar Johor di Mesir dan Jordan. – MalaysiaGazette