Home Ekonomi MEA sudah guna 99.6 peratus peruntukan perbelanjaan pembangunan

MEA sudah guna 99.6 peratus peruntukan perbelanjaan pembangunan

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menafikan laporan sebuah portal berita mengenai kedudukan bajet perbelanjaan pembangunan kementerian tersebut.

Menterinya Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan, pembayaran bagi sesuatu projek hanya boleh dibuat pada penghujung tahun apabila ia telah berjaya disiapkan pada satu-satu peringkat.

“Apabila bercakap mengenai perbelanjaan pembangunan, anda tidak boleh meletakkan sebarang angka pada awal tahun kerana kementerian masih belum berbelanja lagi.

“Pada kebiasaannya, kami akan membuat pembayaran berdasarkan kepada progres sesuatu kerja tersebut.

“Sekarang sudah hujung tahun dan kami telah berbelanja lebih 99 peratus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang meja bulat sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Tambah Azmin, kementerian perlu memantau progres sesuatu projek terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran dan ini yang menyebabkan mereka telah berbelanja melebihi 99 peratus setakat ini.

Ketika ditanya mengenai butiran terperinci kerja-kerja yang dijalankan dengan menggunakan peruntukan tersebut, Azmin menjawab, MEA hanya membelanjakan perbelanjaan pembangunan dan bukannya perbelanjaan operasi.

MEA dalam satu kenyataan hari ini juga menjelaskan, sejumlah 99.6 peratus peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan telah digunakan setakat 19 Disember 2019.

“Laporan yang disiarkan oleh portal berita berkenaan adalah memetik status pada awal November 2019 dan tidak menggambarkan prestasi sebenar perbelanjaan terkini.

Prestasi perbelanjaan sebenar telah jauh meningkat setelah proses pembayaran dapat diselesaikan.

“Semua Kementerian telah membelanjakan lebih daripada 90 peratus daripada peruntukan pembangunan bagi tahun 2019.

“Sehubungan itu, isu baki peruntukan yang tinggi dan tidak dapat dibelanjakan oleh Kementerian bagi tahun 2019 adalah tidak berbangkit,” kata laporan tersebut.

Hari ini portal berita Malaysiakini menyiarkan laporan bertajuk ‘Kementerian Hal Ehwal Ekonomi catat baki peruntukan pembangunan terbanyak’ yang menurut MEA sebagai tidak bertanggung jawab dan mengelirukan rakyat.- MalaysiaGazette