Home Sukan Terengganu janji bayar tunggakan

Terengganu janji bayar tunggakan

Pemain Kuala Lumpur, Sylvano Dominique Comvalius berebut bola bersama pemain Terengganu FC, Igor Zonjic pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 diantara pasukan Kuala Lumpur menentang Terengganu FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menjelaskan kegagalan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) melunaskan baki kedua hak penyiaran menjadi faktor isu tunggakan bayaran yang membabitkan 12 bekas pemainnya.

Setiausaha Eksekutif PBSNT, Syahrizan Mohd Zain, bagaimanapun memberi jaminan masalah itu tidak akan berlarutan sebaliknya akan diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau memberitahu, tunggakan bayaran itu bukan isu gaji sebaliknya sejumlah bentuk bayaran dipersetujui di luar kontrak pemain yang sudah dibayar sehingga 75 peratus.

Namun, beliau berkata, PBSNT memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan memandangkan pihaknya menghadapi kesulitan kewangan selepas MFL mengumumkan tiada baki hak penyiaran Liga Malaysia 2019 diagihkan kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

“PBSNT berhasrat untuk menyelesaikan tunggakan pada November tetapi malangnya MFL mengumumkan tidak akan meneruskan bayaran kedua hak penyiaran selepas menerangkan kedudukan kewangan MFL.

“Kami tidak jangka keadaan begitu serius sehingga MFL tidak dapat melunaskan (hak penyiaran) sekali gus menyulitkan perancangan PBSNT.

“12 bekas pemain itu sudah dimaklumkan dan kami minta sedikit masa untuk mencari kaedah penyelesaian, PBSNT memberi jaminan tunggakan bayaran itu akan dibayar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan beberapa bekas pemain memuat naik hantaran menyindir pihak pengurusan Terengganu FC (TFC).

Tindakan itu disifatkan Syahrizan menjatuhkan imej TFC sedangkan komunikasi dua hala sentiasa berlaku dan PBSNT tidak akan lari daripada tanggungjawab berkenaan. – MalaysiaGazette