Home Nasional Umat Islam perlu cipta dan bangun teknologi sendiri

Umat Islam perlu cipta dan bangun teknologi sendiri

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mendengar ucapan-ucapan Ketua-Ketua Negara pada Majlis Perasmian Summit Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Masyarakat Islam kini perlu sedar betapa mereka sudah jauh ketinggalan di belakang dan perlu bekerja keras untuk mengejar masyarakat dunia lain.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada satu ketika umat Islam perlu bergantung dengan ciptaan dan teknologi bukan Islam.

Namun katanya, apabila umat umat lslam berjaya mengejarnya, masyarakat lain sudah mendahului dengan kemajuan teknologi baharu pula.

“Sekiranya kita tidak mula mencipta dan membangunkan teknologi kita sendiri, kita akan terus bersaing dengan seluruh negara maju.

“Kita tidak mempunyai pilihan tetapi perlu memulakan kerja dan saya benar-benar berharap bahawa pada akhir Sidang Kemuncak KL 2019, strategi dan pendekatan dapat dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Perbincangan Meja Bulat sempena Sidang Kemuncak KL 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama pada sesi tersebut adalah pemimpin dunia Islam, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Dr Mahathir menambah, salah satu cabaran terbesar umat Islam yang dihadapi ketika merangka rancangan pembangunan dan strategi dengan menangani gangguan yang disebabkan oleh kemajuan teknologi.

Tegas beliau, kepantasan pesat kemajuan teknologi telah mengancam beberapa strategi dan rancangan yang dibuat hari ini akan menjadi lapuk dalam masa beberapa tahun akan datang.

“Kita hari ini menyaksikan hampir setiap hari bagaimana beberapa teknologi canggih dan usaha ekonomi maju yang hanya berumur beberapa tahun telah menjadi tidak penting dan menyebabkan beberapa segmen tenaga kerja kita tidak relevan.

“Dalam konteks itu, cabaran kita menjadi dua arah dengan menghasilkan strategi pembangunan dan memastikan ia terus ditingkatkan agar tidak menjadi tidak relevan apabila teknologi baharu muncul.

“Di Malaysia, bagi menangani letusan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), kami telah memperkenalkan dasar kebangsaan yang dipanggil Industri Masa Depan pada tahun lalu.

“Industri ini terutamanya tertumpu pada digital yang bakal mengubah sektor perkilangan  dan perkhidmatan yang berkaitan di negara ini.

“Dasar ini membayangkan Malaysia sebagai rakan strategik untuk pembuatan pintar, destinasi utama untuk teknologi tinggi dan penyedia penyelesaian menyeluruh bagi sektor perkilangan di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette