Home Politik Bersatu gesa Datuk Bandar KL, CEO YWP letak jawatan

Bersatu gesa Datuk Bandar KL, CEO YWP letak jawatan

Ketua Badan Pimpinan Negeri PPBM Wilayah Persekutuan, Muhammad Suhaimi Yahya (tengah) serta yang lain menunjukkan laporan polis dan kenyataan media selepas membuat laporan polis berkenaan pakan iklan 'Sugarbook' di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) digesa supaya meletakkan jawatan susulan pemasangan dua unit papan iklan SugarBook di Bangsar dan Bukit Kiara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham A. Dahlan manakala CEO YWP, Zaizalnizam Zainun.

Gesaan itu dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wilayah Persekutuan yang turut mendesak kedua-dua individu berkenaan bertanggungjawab atas kegagalan mereka sehingga papan iklan itu boleh dipamer dikhalayak dalam tempoh panjang sebelum disedari.

Ketuanya, Muhammad Suhaimi Yahya berkata, pihaknya berasa amat kecewa terhadap kelemahan pemasangan papan tanda berkenaan kerana ia berlaku ketika negara sedang menerima tetamu dari negara-negara Islam yang menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Katanya, perkara tersebut amat memalukan dan seolah-olah tidak ada kandungan yang bersesuaian dalam mengalu-alukan kehadiran tetamu besar dari negara-negara Islam itu.

“Media di bawah seliaan dan DBKL sepatutnya membantu mengalu-alukan kehadiran deligasi-deligasi KL Summit 2019.

“Kegagalan mereka mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) pengiklanan dan pemantauan yang lemah oleh pihak DBKL adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Suhaimi dan beberapa ahli Bersatu Wilayah Persekutuan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menggesa pihak berkuasa menyiasat sekiranya berlaku salah laku berhubung pemasangan papan iklan berkenaan.

Mengulas lanjut, sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan penularan gambar iklan tersebut yang mempunyai unsur sensitif dan lucah.

Sugarbook merupakan aplikasi khidmat lelaki dan wanita simpanan yang tidak selari dengan norma masyarakat Malaysia.

Malah, YWP turut telah mengeluarkan notis amaran serta surat tunjuk sebab kepada pihak syarikat operator, Tetuan Out Of Home susulan paparan visual SugarBook di Bangsar dan Bukit Kiara pada 17 Disember yang lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook, Darren Chan juga ada mengeluarkan kenyataan bahawa aplikasi itu dibangunkan sebagai platform untuk memberi peluang kepada wanita untuk membuat temu janji dengan memilih secara bebas apa yang mereka mahu dalam perhubungan yang ideal.

Mengulas lanjut, Muhammad Suhaimi menegaskan, pemasangan papan iklan itu langsung tidak membantu hebahan terhadap dasar-dasar kerajaan serta gagal menjadi medium penyampaian maklumat dan aspirasi kerajaan kepada rakyat.

Ujarnya, kegagalan pengurusan YWP untuk memahami dasar-dasar kerajaan dan penyalahgunaan medium untuk penyampaian aktiviti yang tidak bermoral serta bersesuaian dengan adab budaya teramsuk sensitiviti agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Tambah beliau, pihaknya turut akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin ini agar siasatan dapat dijalankan tanpa menolak kemungkinan berlakunya unsur rasuah dalam perkara tersebut.

“Sebarang unsur-unsur sabotaj oleh mana-mana pegawai dan operator iklan yang melanggar mana-mana peraturan, SOP dan Rule of Law, hendaklah diambil tindakan yang sekeras-kerasnya sebelum ianya menjadi barah yang merosakkan keseluruhan organisasi kerajaan.

“Pemasangan iklan-iklan haram yang secara berleluasa ini bukan sahaja merosakkan imej kerajaan tetapi juga menyebabkan kehilangan dan ketirisan sumber pendapatan kepada kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette