Home Ekonomi Bukan pengakhiran untuk peminjam ASBF

Bukan pengakhiran untuk peminjam ASBF

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kiri) bersama Presiden PNB, Jalil Rasheed mengumumkan pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit pada kemas kini 4Q2019 dan Pengumuman Amanah Saham Bumiputera (ASB) di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menggunakan pembiayaan untuk melabur (ASBF) mungkin terpaksa membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi selepas ini ekoran agihan pendapatan 2019 yang lebih rendah iaitu sebanyak lima sen seunit sahaja.

Bagaimanapun menurut pemerhati ekonomi, Najib Sahaari, para peminjam tidak perlu bimbang kerana penambahan amaun ansuran tersebut akan dimasukkan ke dalam prinsipal hutang.

“Bagi yang kena top up (menambah pembayaran ansuran) jangan risau sangat kerana pembayaran tambahan tersebut akan masuk ke dalam prinsipal.

“Contoh, ambil (pembiayaan) RM200,000. Bayar (ansuran) RM1,000 sebulan untuk 12 bulan makan jumlah keseluruhan pembayaran adalah RM12,000 tetapi agihan pendapatan yang diterima hanyalah RM11,000 sahaja.

“(Dalam hal ini) prinsipal peminjam akan bertambah lebih kurang RM2,400.

“Mana datang RM2,400 itu? (Ia datang) daripada duit RM1,000 yang anda bayar setiap bulan, 20 peratus pergi kepada pokok (prinsipal) manakala 80 peratus adalah untuk membayar bunga (kadar faedah pembiayaan),” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Najib menasihatkan orang ramai supaya memahami jenis pelaburan yang bakal dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Jelasnya, ASBF adalah sejenis produk pembiayaan (leverage product) yang dibuat untuk memaksimumkan pulangan pelaburan.

Sebagai produk pembiayaan atau hutang, ia mempunyai risiko yang semakin besar jika tempoh pembiayaan semakin panjang.

Tambahan pula, ASBF berhadapan dengan banyak risiko sama ada yang sudah dijangkakan atau tidak.

“Kenapa risiko ASBF ini besar? Sebab anda perlu berhadapan dengan banyak risiko sama ada yang telah dijangkakan (calculated risk) atau risiko luar jangkaan (uncalculated risk).

“Risiko luar jangkaan adalah seperti perang perdagangan manakala risiko yang boleh dijangka adalah seperti kadar faedah serta prestasi pasaran.

“Jadi bila ambil produk leverage ini, pertama sekali anda kena fikir sama ada mampu atau tidak untuk menanggung risiko-risiko tersebut sekiranya ia berlaku?” soalnya.

Najib menasihatkan para peminjam ASBF supaya membuat penilaian teliti terhadap tahap kewangan masing-masing sebelum membuat keputusan untuk meneruskan atau menghentikan pembiayaan susulan perkembangan terbaharu ini.

“Contoh kena bayar RM1000 sebulan tetapi anda hendak menggunakan cara pusingan (rolling), jika boleh, teruskan. Kalau sesak nafas (tidak mampu), lebih baik jangan kerana jika gagal mematuhi jadual pembayaran, anda boleh rugi.

“Kedua, anda fikir anda sudah terlebih pinjam atau tidak?

“Contohnya, gaji RM2,500 tetapi ambil ASBF maksimum RM200,000 yang memerlukan pembayaran ansuran sebanyak RM1,000 sebulan.

“Ini pinjaman berlebihan dan ia akan memberikan risiko dari segi aliran tunai anda. Jika aliran tunai sesak, anda akan mula mencipta hutang bukan-bukan antaranya dengan menggunakan kad kredit,” jelasnya.

Tambah pengasas blog mytwocent.asia itu, sekiranya para pelabur tidak mempunyai sebarang masalah dengan risiko-risiko yang telah dinyatakan, ASBF adalah produk yang sesuai untuk mereka.

“Produk leverage adalah benda yang baik untuk kembangkan aset dengan cepat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Asal dana pelaburan orang2 Melayu ajer asyik kena gasak rugi sana sini, tanya PHangCing apa sebab, jawapan Hancinggggg… Tak tahu!

Comments are closed.