Home Utama Ekonomi patut jadi senjata umat Islam

Ekonomi patut jadi senjata umat Islam

Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR- Kekukuhan ekonomi sepatutnya menjadi senjata umat Islam di zaman moden.

Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, kekuatan ketenteraan tidak lagi menjadi faktor penentu kuasa sesebuah negara sebaliknya kekukuhan ekonomi telah mula menjadi pengubah kepada keseimbangan geopolitik.

Malangnya menurut beliau, negara-negara Islam masih terlalu bergantung kepada Barat dan terus menjadi boneka yang dikawal oleh negara-negara berkenaan walaupun negara-negara Islam ini kaya daripada segi sumber alam terutama minyak dan gas.

“Mereka terus-terusan gagal untuk mewujudkan blok perdagangan yang kukuh yang menyatukan dunia Islam.

“Sedangkan Maulana Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi pernah mengkritik negara-negara Arab dengan berkata, adalah menjadi tugas negara-negara Arab untuk menjadikan dunia Islam yang bebas dalam perdagangan, kekayaan, industri dan pendidikan.

“Rakyat mereka tidak sepatutnya memakai pakaian yang bukan diperbuat daripada tanah air mereka sendiri menggunakan tangan mereka sendiri…sudah pasti negara-negara Arab tidak mampu berperang dengan Barat (sekiranya keadaan memerlukan) selagi mereka masih bergantung kepada Barat untuk mendapatkan kemewahan, fesyen dan barangan,katanya ketika menyampaikan ucapan dalam sesi plenari 1: Pengagihan Semula Kekayaan- Kemakmuran Bersama sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Tambah Mohd. Asri, keadaan itu merupakan satu realiti yang menyedihkan apabila melihat umat Islam menjadi hamba penjajahan ekonomi meskipun dilihat kaya kebanyakan negara-negara Islam sebenarnya masih terperangkap dalam kemiskinan.

Dengan itu beliau menyeru supaya negara-negara Islam bersolidariti mengeluarkan barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi supaya mereka tidak lagi perlu bergantung negara lain.

“Ini juga merupakan tanggung jawab kita untuk membeli produk-produk muslim serta mengunjungi kedai dan pasar yang dimiliki orang Islam supaya dapat memenuhi tanggung jawab tersebut.

“Di peringkat antarabangsa, perdagangan di antara negara-negara Islam adalah tanggung jawab yang perlu dilunaskan,” tegasnya.- MalaysiaGazette