Home Nasional GPMS lancar gerakan besar-besaran jika UEC diiktiraf

GPMS lancar gerakan besar-besaran jika UEC diiktiraf

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas berucap pada Persidangan Agung Tahunan GPMS Kali Ke -65 di Akademik Pusat Latihan Pertahanan Awam Malaysia, Persiaran Institusi Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2019

BANGI – Satu gerakan besar-besaran bagi menolak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Semenanjung Malaysia akan dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf sijil berkenaan.

Menurut Presiden GPMS, Alif Anas Md Noor, langkah itu bagi menyatakan pendirian tegas pertubuhan itu yang selama ini terus menerus menolak UEC.

“Jika UEC tetap diteruskan, GPMS tidak teragak-agak untuk menggerakkan satu gerakan yang maha luar biasa menolak keputusan kementerian,” katanya dalam Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kali ke 65 di sini hari ini.

GPMS dalam pada itu turut mendesak agar pihak Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) berhenti mendesak kerajaan dan Kementerian Pendidikan agar berhenti membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

“Setakat tiga muka surat apalah sangat pihak Dong Zong nak takut. Kita minta Dong Zong hormat dan hentian desak pihak kerajaan dan tekanan kepada Kementerian Pendidikan termasuk himpunan 28 Disember depan di bangunan Dong Zong.

“Kita mendesak supaya pihak Dong Zong menghormati cadangan silibus yang akan diperkenalkan ini kerana setakat tiga muka surat apa yang mereka takutkan,” katanya lagi.

Dong Zong akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Malah mereka turut menyeru agar semua pertubuhan Cina yang berdaftar menghadiri himpunan membantah cadangan memperkenalkan tulisan Jawi yang akan diadakan di New Era University College pada hari Sabtu depan.

Lokasi penganjuran itu adalah tempat sama dengan himpunan bekas-bekas pengganas komunis dan para penyokongnya pada 1 Disember lalu.

Kenyataan itu berkata, himpunan pertubuhan-pertubuhan Cina ini adalah untuk menggembleng tenaga dalam menjaga kedaulatan Lembaga Pengelola SJK Cina dan Tamil.

Ia juga mahu menggesa kerajaan supaya mendengar pandangan rakyat dan seterusnya membatalkan cadangan memperkenalkan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di SJK. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.