KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.9 peratus pada November 2019 kepada 122.1 berbanding 121.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api (1.7%), pendidikan (1.6%), makanan & minuman bukan alkohol (1.5%), komunikasi (1.5%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (1.5%).
Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding Oktober 2019, disokong terutamanya oleh perumahan, air, elektrik, gas & bahan api (0.4%), pelbagai barangan & perkhidmatan (0.4%) dan kesihatan (0.2%).
Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga November 2019 mencatatkan peningkatan 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol meningkat 1.5 peratus pada November 2019 berbanding tempoh masa yang sama pada tahun sebelumnya.
Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan sayur-sayuran (2.0%), keluaran makanan yang tidak dikelaskan di mana-mana (1.6%), susu & telur (1.4%), ikan & makanan laut (1.3%), dan buah-buahan (1.1%).
Indeks makanan di luar rumah meningkat 2.2 peratus pada November 2019 berbanding November 2018.
Kenaikan harga bagi nasi berlauk, makanan berasaskan mee dan ayam goreng telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini.
Tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.4%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.3%) dan Pulau Pinang (1.1%) menunjukkan kenaikan melepasi paras IHP nasional 0.9 peratus pada November 2019 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.
Sementara itu, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.0%) diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.9%), Pulau Pinang (1.9%), Perak (1.8%), Johor (1.8%) dan Kedah & Perlis (1.6%) melebihi paras indeks nasional kumpulan makanan & minuman bukan alkohol bagi bulan November 2019. – MalaysiaGazette