Home Nasional Laporan Hak Kanak-kanak bakal dibentang tahun depan – Hannah

Laporan Hak Kanak-kanak bakal dibentang tahun depan – Hannah

Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Laporan Status Hak Kanak-Kanak di Malaysia dijangka dimuktamadkan pada tahun depan sebaik sahaja Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapat pelepasan daripada pejabat Peguam Negara bagi proses saringan perundangan.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pada masa ini pihaknya di peringkat akhir untuk mengumpulkan data daripada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri.

“Kita sedang dalam peringkat akhir untuk dapatkan pelepasan daripada undang-undang kita sebelum kita hantar untuk diteliti oleh Pejabat Peguam Negara.

“Sasaran kita adalah kita nak hantar tahun depan untuk pastikan kerana laporan ini sudah lama tak dihantar sejak 2006.

“Jadi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah berikan arahan tahun lepas untuk pastikan kita dapat sediakan laporan dan hantar pada 2020,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Laporan Status Kanak-kanak di Malaysia anjuran Gabungan NGO di Rumah Tangsi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hannah juga berkata, isu yang melibatkan kanak-kanak termasuk perkahwinan di usia muda melibatkan bidang kuasa beberapa kementerian untuk memberi perlindungan mengikut perundangan negara.

“Kalau kita lihat isu yang melibatkan kanak-kanak dia melibatkan banyak kementerian lain iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri seperti isu perkahwinan bawah umur.

“Dengan adanya laporan ini saya berharap semua pihak, masyarakat dan kerajaan perlu membaca laporan ini untuk betul-betul memahami isu yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Hanna turut melahirkan rasa terkilan melihat pelarian kanak-kanak yang berada di Malaysia pergi ke sekolah tanpa sjil tertentu.

“Kita dengar mereka terperangkap sebagai seorang dewasa kerana dia tiada taman permainan kanak-kanak, dia tiada infrastruktur untuk mereka bermain.

“Tugas kanak-kanak sebenarnya adalah bermain dan belajar, tapi kalau dua infrastruktur yang penting ini tidak diberikan kepada semua kanak-kanak di Malaysia, bukan saja warga Malaysia bahkan semua kanak-kanak di Malaysia harus mempunyai akses kepada infrastruktur yang sama.

“Saya berharap semua kementerian akan mengambil berat perkara ini dan membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengutamakan hak kanak-kanak di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette