Home Ekonomi MARA henti pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan

MARA henti pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan

Dr. Hasnita Hashim, pemilik Doktor Falsafah dalam bidang Fizik Nuklear dari Universiti Oxford merupakan seorang pakar aktuari.
Dr. Hasnita Hashim

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan.

Berikutan itu, semua anak syarikat MARA akan diletakkan di bawah pemantauan satu jawatankuasa khas yang akan melapor terus kepada Majlis MARA.

Jawatankuasa khas ini juga akan memberi cadangan mana-mana anak syarikat yang akan dikekalkan atau sebaliknya pada tahun 2020.

Pengerusi MARA, Dr Hasnita Hashim berkata, MARA telah berusaha untuk membangun dan mengurus perniagaan melalui penubuhan anak-anak syarikat.

Bagaimanapun, katanya, kekurangan kepakaran dalam bidang-bidang yang diceburi telah menyebabkan syarikat-syarikat tersebut mengalami kerugian yang berterusan.

Beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti termasuk dalam aspek tadbir urus yang tidak sempurna, pemilihan sektor dan jenis pelaburan yang tidak tepat serta pengurusan dana yang tidak efektif.

“MARA telah melaksanakan segala inisiatif yang dirancang secara bersungguh-sungguh dan banyak penambahbaikan yang telah dibuat sepanjang tahun ini merangkumi aspek tadbir urus, pengurusan kewangan, pendidikan dan
keusahawanan.

“Majlis MARA dan Pengurusan MARA telah berusaha tanpa jemu untuk memenuhi amanah dan mandat yang diberikan oleh kerajaan dalam meningkatkan status ekonomi golongan berpendapatan rendah B40 terutamanya Bumiputera. Setiap ringgit dana peruntukan yang disalurkan Kerajaan digunakan sebaik-baiknya demi merealisasikan misi MARA dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Dr Hasnita, sepanjang tahun ini, MARA memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan negara.

Ia juga memperkasakan Institusi-Institusi pendidikan MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), German Malaysian Institute (GMI), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej MARA (KM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan GIATMARA untuk menyediakan pendidikan unggul dalam bidang akademik, profesional dan TVET.

Dalam bidang keusahawanan pula, MARA melaksanakan program pembangunan keusahawanan bersama usahawan-usahawan Bumiputera yang sedia mempunyai kepakaran dan kemahiran seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

MARA juga merancang untuk melaksanakan pelaburan melalui Endowment Fund di mana MARA berperanan untuk menentukan sektor dan jenis pelaburan, membuat pemilihan pengurus dana pelaburan, memantau dan mengukur prestasi pengurus dana pelaburan.

Beliau memaklumkan MARA telah mencapai beberapa kejayaan sepanjang tahun ini seperti pengambilan kemasukan ke MRSM 2019 melebihi 60% dari golongan B40 dan bagi pengambilan 2020, MARA telah menerima lebih daripada 100,000 permohonan.

Manakala, bagi sektor keusahawanan, kami telah berjaya mempromosikan program-program yang berimpak tinggi seperti GAYA Fest, MARA in Fashion, Hair in Trend (HIT), Barber, Gate to Global, ProSPEC dan sebagainya.

“Melangkah ke hadapan, MARA sentiasa komited untuk memastikan masyarakat Malaysia terutamanya Bumiputera akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program-program pendidikan dan pembangunan keusahawanan MARA,” katanya sambil memberitahu satu sidang akhbar akan diadakan pada  Januari 2020 untuk Majlis MARA berkongsi maklumat dengan lebih terperinci. – MalaysiaGazette