KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis menjadi padang ujian besar kepada Pakatan Harapan (PH) selepas PRK Tanjung Piai.
Ini kerana, bukannya soal siapa yang akan dilawan tetapi bagaimana pemimpin PH mengatur jentera terutamanya apabila semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) akan diketuai oleh Parti Warisan Sabah, kata Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Haris Alimudin.
Menurutnya, PH harus realistik dalam mengatur jentera pilihan raya kerana kebanyakan petugas parti masih dibelenggu dengan kebiasaan menerima ‘peruntukan’ atau ‘wang pelincir.’
“Ini menyebabkan ketua di PDM akan mempastikan peruntukan hanya disalurkan melalui PDM dan mengakibatkan berlakunya persaingan dalam kalangan jentera.
“Mentaliti ini tidak boleh dinafikan menjadi antara faktor besar kelemahan jentera PH sehingga ada bendera PH yang roboh ke tanah tidak dinaikkan kerana ia dikatakan kerja orang lain,” katanya menerusi kenyataan.
Haris berkata, perlu diakui hubungan antara pemimpin atasan Warisan dan PH dilihat baik, tetapi realiti di bawah jauh lebih buruk.
Katanya, tiadanya mesyuarat rasmi di antara komponen parti PH di peringkat cawangan dan kawasan menyebabkan hubungan hampir tiada malah hubungan rasmi antara Warisan dan PH di peringkat negeri dan nasional tidak dikongsi di peringkat ahli bawahan.
“Umum mengetahui hubungan dingin di antara Warisan dan Bersatu. Kerjasama antara dua parti ini menjadi penentu sama ada PH-Warisan mampu mengharungi PRK ini secara damai tanpa usaha pintu belakang.
“Sehingga hari ini masih ada usaha untuk mengetengahkan calon selain dari Warisan,” ujarnya.
Justeru katanya, PH dan Warisan perlu segera ke meja rundingan untuk memilih kaedah kerjasama terbaik antara jentera bagi tidak mengulangi kesilapan di Tanjung Piai.
Katanya, formula untuk saling menghormati perlu dicapai segera dan arahan jelas kepada ahli bawahan perlu diberikan.
Ujarnya, jentera pilihan raya mungkin perlu dibahagikan mengikut parti dan tidak lagi mengikut formula PH negeri kerana ia lebih memudahkan arahan dan kerja pilihan raya dapat diatur dengan tersusun dan cepat serta ia mampu mengelak adanya sleeping partner dalam kalangan komponen.
“PRK Kimanis adalah ujian kepada pemimpin PH dan Warisan mengawal ahli parti masing-masing. Kegagalan menyusun jentera PH Warisan akan menyebabkan peluang kemenangan di Kimanis akan terancam.
“Pemimpin di peringkat tertinggi semua parti harus melihat realiti berbanding laporan yang baik dan bertapis dari pemimpin kawasan dan cawangan.
“Kekalahan PH-Warisan di Sabah akan menjemput gelombang penolakan rakyat terhadap kerajaan ke negeri yang masih dilihat stabil. Ia juga sebagai ujian awal kemampuan PH untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette
Kalau dah masuk kawasan orang tu, hormat la tuan tanah. Klau nk buat keras kepala bana kat Sabah, x mustahil ph akan kalah lebih teruk drp kat Tg Piai aritu. Org Sabah dan Sarawak korang jgn buat main