Home Ekonomi Bursa dijangka diuji pada paras 1,600 mata

Bursa dijangka diuji pada paras 1,600 mata

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh minggu depan, menguji semula paras 1,600 dan mendorong kepada paras 1,625, disokong oleh perkembangan positif mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta UK Brexit, kata penganalisis.

Terdapat juga penyertaan yang lebih baik daripada pelabur asing, katanya.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unjuran yang optimis berdasarkan FBM KLCI yang kukuh pada minggu ini, yang meningkat setinggi 1,599.11 mata pada 18 Dis.

“Pada masa ini, perbincangan perdagangan antara AS dan China dilihat berjalan dengan baik berikutan AS mengurangkan sebahagian tarif dan China berjanji untuk membeli lebih banyak produk pertanian daripada AS,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan perkembangan yang berlaku, katanya risiko global dilihat berkurangan buat masa ini menyebabkan sentimen untuk mengambil risiko lebih ketara.

“Mungkin, terdapat minat dari luar negara minggu depan berikutan kerajaan komited untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur yang utama pada tahun depan.

“Ini akan memberi manfaat kepada saham berkaitan pembinaan. Selain itu, sektor teknologi dijangka mencatat prestasi yang baik berdasarkan unjuran baru-baru ini oleh Pertubuhan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) bahawa jualan semikonduktor global dijangka meningkat sebanyak 5.9 peratus pada 2020 selepas merosot 12.8 peratus pada 2019,” kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, katanya laporan Prospek Aktiviti Petronas 2020-2022 baru-baru ini menunjukkan terdapat lebih banyak projek untuk penggiat huluan berikutan kontrak sedia ada akan tamat dalam masa terdekat.

“Terdapat banyak peluang dalam persekitaran ketidaktentuan global. Oleh itu, pelabur akan lebih memilih dalam keputusan pelaburan mereka,” katanya.

Bersetuju dengan Afzanizam, Ahli Strategi Pasaran AxiTrader Asia Pasifik Stephen Innes berkata kelegaan berkaitan persetujuan perdagangan AS-China dijangka memberi perubahan berikutan momentum yang diwujudkan bagi pertumbuhan perdagangan global 2020 didorong oleh data ekonomi yang menyeluruh.

Ini, katanya menjadi teras kepada FBM KLCI berikutan pertumbuhan perdagangan global yang lebih memihak kepada segmen minyak dan gas serta syarikat komoditi berkaitan sumber yang lain di bursa, ketika harga minyak dan gas serta komoditi lain meningkat dipacu oleh prospek pertumbuhan yang lebih optimis.

Innes juga berkata minggu ini menyaksikan aliran masuk ekuiti yang baik berikutan pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia dan mungkin terdapat kesinambungan berikutan sentimen positif.

“Pada pendapat saya, antara sebab saya terus yakin dengan pasaran modal Malaysia ialah ringgit yang dilihat ‘murah’ berbanding mata wang serantau yang lain, dengan nilai lebih rendah antara -3 dan -7 peratus.

“Saya turut berpendapat walaupun dagangan ringgit dijangka rendah menjelang 2020 namun masih terdapat skop yang ketara untuk eksport serta kemungkinan mata wang yang berteraskan aliran ekuiti seperti ringgit untuk mencatat prestasi yang baik.

“Berdasarkan persetujuan perdagangan antara AS dan China, penilaian yang rendah ke atas FBM KLCI, yang ketinggalan berbanding pasaran serantau pada tahun ini, akan menjadi tarikan kepada pelabur asing.

“Ini terutamanya, jika ringgit meningkat daripada merosot selama setengah tahun,” kata Innes.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran kebanyakannya tinggi, disokong oleh pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia dan aktiviti memperelokkan akaun berikutan hampir akhir tahun serta sentimen global yang lebih baik susulan prospek bagi persetujuan perdagangan ‘fasa satu’ AS-China yang positif.

Saham perbankan antara penerima manfaat daripada pelaksanaan semula projek itu, selain saham pembinaan, iaitu Ekovest dan IWCity.

Pada Khamis, dagangan dalam pasaran ekuiti dihentikan secara tiba-tiba pada 4.45 petang berikutan isu teknikal dan dagangan disambung semula seperti biasa pada 9.00 pagi pada hari berikutnya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 39.02 mata kepada 1,610.18 daripada 1,571.16 sebelum ini.

Indeks FBM Emas naik 217.16 mata kepada 11,404.74, Indeks FBMT 100 meningkat 224.63 mata kepada 11,210.43, dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 233.57 mata kepada 12,068.54.

FBM 70 meningkat 88.98 mata kepada 14,107.98 dan Indeks FBM Ace menokok 35.66 mata kepada 5,028.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 308.49 mata kepada 15,561.53 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 2.72 mata kepada 154.86, manakala Indeks Perladangan meningkat 107.74 mata kepada 7,604.15.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 11.41 bilion unit bernilai RM9.87 bilion daripada 13.08 bilion unit bernilai RM9.47 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 7.88 bilion unit bernilai RM9.06 bilion daripada 9.43 bilion unit bernilai RM8.69 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.54 bilion unit bernilai RM271.82 juta daripada 1.45 bilion unit bernilai RM228.34 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.98 bilion unit bernilai RM535.60 juta daripada 1.85 bilion unit bernilai RM549.65 juta. – MalaysiaGazette

+ posts