AMPANG – Keputusan pembangunan semula tapak tanah Highland Towers di Hulu Klang hanya akan diketahui pada 8 Januari depan.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, perkara itu akan diputuskan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) awal tahun depan.
“Isnin lepas saya sudah jumpa Menteri Besar (Amirudin Shari) dan Insya-Allah Menteri Besar akan bawa kes Highland Towers pada 8 Januari Dalam mesyuarat MTES.
“Insya-Allah ia akan diluluskan pada 8 Januari ini juga,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Bola Sepak Bawah 14, 12 dan 10 tahun anjuran Kelab Bola Sepak Tasek Dragon di Tasek Tambahan, di sini, hari ini.
Sabtu lepas, Amirudin mengakui pihaknya menerima surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai isu pembangunan semula Highland Towers bulan lepas dan ia sedang diuruskan oleh jabatan terlibat.
Bagaimanapun menurut Amirudin, pihaknya sedang memproses kelulusan tapak tanah Highland Towers di Hulu Klang untuk dibangunkan semula dan ia memerlukan masa kerana perlu melalui beberapa prosedur.
Jelas Amirudin, proses itu melibatkan maklum balas dan penggazetan sambil memaklumkan kerja tanah biasanya mengambil masa 90 hari atau tiga bulan.
Sebelum ini, Zuraida menggesa Kerajaan Negeri Selangor mempercepatkan kelulusan pengambilalihan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula selepas lebih 20 tahun terbiar. – MalaysiaGazette