PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa kesatuan pengangkutan untuk menamatkan protes berhubung pembaharuan skim pencen semasa cuti Hari Krismas untuk mengelakkan gangguan perjalanan.
“Tindakan mogok adalah wajar dan dilindungi oleh perlembagaan, tetapi saya fikir pada saat-saat ini adalah baik menamatkan protes untuk menghormati kehidupan orang lain,” katanya Macron semasa sidang akhbar.
Perancis berdepan dengan mogok oleh kesatuan-kesatuan sekerja pengangkutan di seluruh negara yang tidak berpuas hati dengan reformasi skim pencen yang mahu menghapuskan regim khas bagi sektor-sektor seperti kereta api, telah mencetuskan protes.
Meskipun beberapa kesatuan sekerja meminta supaya mogok tersebut digantung sementara semasa Hari Krismas, tetapi masih ada kumpulan-kumpulan kakitangan rel masih meneruskan protes.
Keadaan itu mengganggu perjalanan orang ramai.
Macron berkata, penggantungan sementara protes itu tidak bermakna mereka mengenepikan tuntutan terhadap kerajaan tetapi sebagai tanda tanggungjawab dan menghormati penduduk Perancis yang akan bersatu dengan keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Krismas.
Pengendali rel SNCF masih mengurangkan perkhidmatannya pada hari Sabtu termasuk hanya separuh daripada tren berkelajuan tinggi beroperasi.
Operasi tren metro di Paris masih dihentikan.- MalaysiaGazette