Home Utama Loji Air Sungai Semenyih belum boleh beroperasi lagi

Loji Air Sungai Semenyih belum boleh beroperasi lagi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas pada jam 7.15 pagi pada Jumaat lalu masih belum boleh beroperasi.

Ini kerana, paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga ton setakat 6.30 pagi tadi.

Air Selangor berkata, pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan agensi-agensi berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang giat menjalankan kerja kerja pembersihan lurang kumbahan (manhole) berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK), yang mana menjadi punca menyebabkan pencemaran bau disedut keluar.

Manakala kerja kerja pendosan mengaktifkan karbon juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan kesan pencemaran bau di Sungai Semenyih.

“Sehingga jam 6.30 pagi ini pencemaran bau berada di paras 3 ton.

“Oleh itu Loji Rawatan Air Sungai Semenyih masih belum boleh dioperasikan sehingga bacaan mencapai paras sifar ton iaitu tiada langsung kesan pencemaran bau,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan lain, LRA Bukit Tampoi yang juga menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut terpaksa dihenti tugas pada jam 3.30 petang semalam.

Henti tugas Kedua dua loji ini telah mengakibatkan 366 kawasan dan 336,930 jumlah akaun terjejas iaitu meningkat daripada jumlah yang dinyatakan semalam.

Kawasan-kawasan tersebut ialah Kg Bukit Changgang, Kilang ISF, Dengkil, Taman Arked, Kg Labohan Dagang, Kompleks Perabot Olak Lempit, Taman Changgang Jaya, Kg Olak Lempit, Pusat Serenti, Taman Seri Dagang,
Kg Org Asli Bukit Bakong, Bukit Tampoi, RRM Bukit Changgang, Taman Seri Manggis, Kg Selangor Dredging, Telok Datok, Taman Seri Telok Datok, Kg Sungai Manggis, Taman, Ambar dan Taman Topaz

Bantuan bekalan air kecemasan terus di pergiatkan dan lori-lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital.

Selain daripada itu, 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam masih meneruskan operasinya 24 jam.

Air Selangor menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan ini akan mengambil sedikit masa.

Namun demikian segala tindakan perlu sedang dilakukan bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan selepas loji kembali beroperasi, termasuk menyediakan bantuan bagi mengurangkan kesulitan pengguna berikutan insiden ini. – MalaysiaGazette