Home Pendapat Melayu mana yang malas?

Melayu mana yang malas?

Seorang nelayan memasukan ikan kedalam jaring untuk ditimbang sebelum dijual kepada pembeli ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Kampung Nelayan Air Masin Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 05 NOVEMBER 2019.

Tun Daim sangkal Melayu malas. Sebelum beliau, Prof Ungku Aziz, Prof Syed Hussein Alatas, Prof Syed Naquib Al Attas dan ramai lagi cerdik pandai Melayu yang telah menolak tohmahan bahawa Melayu malas.

Betul, sebahagian besar orang Melayu miskin. Bacalah buku Dr Muhamad Khalid bertajuk “.The Colour of Inequality” yang menunjukkan banyak fakta bahawa orang Melayu memang miskin di negara ini. Tapi sebab utama mereka miskin bukan sebab mereka malas.

Pada Prof Syed Naquib Al Attas, orang Melayu menjadi miskin sebab dasar British yang melebihkan imigran yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh mereka. Kerana Inggeris yang membawa masuk, banyak peluang telah diberikan pada imigran.

Pada Syed Naquib Al Attas, di era penjajahan, orang Melayu miskin kerana mereka telah dikekalkan dalam kegiatan ekonomi pertanian yang tidak produktif oleh Inggeris. Mereka sebenarnya rajin tapi hasil pertanian tidak produktif berbanding perlombongan bijih timah atau menjalankan perniagaan.

Akibat dasar agihan ekonomi kolonial Inggeris, orang Melayu sebelum merdeka terus ketinggalan dan kekal miskin sehingga merdeka.

Kata Prof Ungku Aziz pula, bila sudah merdeka, hasil dari dasar ekonomi Inggeris sebelum merdeka orang bukan Melayu telah berjaya menguasai ekonomi negara yang mempunyai produktiviti tinggi. Kilang dan sektor industri dikuasai sepenuhnya oleh bukan Melayu. Pada 1960an, kuasa ekonomi orang Melayu hanya sekitar 3% berbanding orang Cina hampir 60%. Selebihnya milik syarikat orang Barat.

Di saat orang bukan Melayu menguasai ekonomi yang produktif, masyarakat Melayu pula kekal dengan pertanian sara diri. Pemimpin Melayu selepas merdeka juga mengekalkan orang Melayu dalam sektor pertanian sara diri. Yang lebih ditumpukan oleh kerajaan di era 1970an adalah industri. Pertanian bukanlah sektor yang menjadi keutamaan.

Lihat sahajalah harga padi yang menjadi sektor utama ekonomi orang Melayu, sehingga sekarang pun harga padi sangat rendah. Bayangkan harga padi tidak pernah dinaikkan walaupun harga beras meningkat berkali ganda. Sebab itu pesawah padi sehingga hari ini dikategorikan sebagai pekerja paling miskin di negara ini.

Prof Ungku Aziz dalam kajian beliau di tahun 1960an membuktikan wujud kartel di kalangan orang bukan Melayu yang telah ‘menyekat’ orang Melayu yang baru berniaga. Rantaian peniaga bukan Melayu telah menguasai bekalan hingga peniaga Melayu sukar berniaga. Walaupun orang Melayu rajin berniaga tapi akhirnya mereka gulung tikar juga. https://www.researchgate.net/…/284738560_Royal_professor_Un…

Prof Syed Hussein Al Attas pula menghujahkan punca Melayu miskin sebab pemimpin Melayu makan rasuah. Mereka ini tak mampu menjadi pemimpin yang amanah. Pemimpin Melayu yang makan rasuah ini rendah akhlaknya. Apa yang menguntungkan mereka semuanya mereka akan kaut. Semoga Allah swt membalas segala kejahatan mereka ini di hari pembalasan nanti.

Para intelektual Melayu pula pada Prof Syed Hussein Alatas tidak ada kesungguhan untuk mengubah kehidupan masyarakat sendiri. Mereka terpisah dari masyarakat apabila sudah selesa di menara gading.

Pada Prof Syed Hussein Alatas, pemimpin Melayu yang rasuah dan intelektual Melayu yang bungkam dan bacul inilah punca utama orang Melayu miskin dan ketinggalan. Pemimpin dan intelektual Melayu jenis ini lebih berfikir memewahkan diri dan keluarga sendiri. Mereka akan buat apa sahaja yang menguntungkan mereka walaupun tindakan mereka akan merugikan generasi depan bangsa Melayu. Bacalah buku-buku beliau jika anda mahu tahu lebih lanjut. Misalnya “The Sociology of Corruption (1968), Intellectuals in Developing Societies (1977), The Problem of Corruption (1986), Corruption: Its Nature, Causes and Functions (1990), Corruption and the Destiny of Asia (1999)

Ikut kata Tun Daim lagi , walaupun orang Melayu rajin, ada juga orang Melayu yang segelintirnya malas. Mereka ini ialah orang Melayu di kalangan penerima habuan politik. Mereka ini jenis Melayu yang terima kontrak kerajaan kemudian ‘jual kontrak’ pada orang lain. Mereka ini juga jenis Melayu yang bila terima AP kereta import tapi jual AP pada orang lain. Kata Tun Daim inilah contoh Melayu malas. https://malaysiagazette.com/…/daim-sangkal-kata-melayu-mal…/