PUCHONG – Penduduk Taman Lestari Permai yang mengalami masalah bekalan air selepas operasi Loji Rawatan Air Semenyih dihentikan sejak awal pagi semalam meminta Air Selangor segera menangani masalah itu.
Ini kerana, operasi penghantaran bekalan air yang dijanjikan oleh Air Selangor kepada pengguna-pengguna yang terjejas hanya indah khabar dari rupa sahaja.
Yusry Shahrin, 43, penduduk di Taman Lestari Permai, dekat sini kesal kerana sejak terputus bekalan air semalam, Air Selangor didakwa lambat bertindak kerana baru hari ini membuat agihan di setiap kawasan.
“Air tidak ada dari semalam, sejak pukul 3 petang . Selepas itu tidak ada bekalan air di hantar, pagi ini baru datang, itu pun kami telefon.
“Memang susahlah tidak ada air, saya ada anak tiga orang, macam mana nak masak, nak mandi, makan,” katanya yang ditemui di sini.
Sementara itu, Yusri Abdul Ghani, 40 yang telah tinggal di sini selama lapan tahun turut mengeluh selepas rumahnya mengalami gangguan bekalan air.
“Susah apabila tidak ada air. Sekarang air tangki pun semakin surut. Saya harap pihak berkenaan segerakan proses pembersihan supaya bekalan dapat dipulihkan,” ujarnya.
Seorang surirumah, Norsila Abdul Jalil, 49, pula antara penduduk yang paling terkesan kerana beliau mendiami rumah bersama-sama lapan ahli keluarga yang lain.
Ditambah lagi dengan adik perempuannya yang baru sahaja melahirkan anak.
Norsila berkata, jumlah ahli keluarga yang besar itu menyebabkan penggunaan air di rumahnya melebihi daripada keluarga yang lain.
Sejak kawasan itu mengalami gangguan air sejak pagi semalam, dia tidak berkesempatan mandi kerana air tangki habis.
“Dari semalam bergantung pada air tangki, sekarang sudah habis.
“Saya berharap sangat bekalan pulih hari ini. Tapi bila tengok lori air datang, maknanya macam lama lagi bekalan akan pulih,” katanya.
Tambahnya, gangguan terbaharu ini adalah kali ketiga dalam tahun ini.
Loji Rawatan Air (PRA) Semenyih terpaksa dihentikan tugas sejak semalam apabila dilaporkan dikesan berlakunya pencemaran bau akibat pembuangan sisa secara haram.
Ini menyebabkan gangguan kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Taman Lestari Permai Mohd Suhaili Mohd Nor berharap syarikat Air Selangor akan meningkatkan kekerapan pengagihan bekalan air di kawasan perumahan Lestari Permai itu kerana lokasi itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
“Kalau boleh Air Selangor perlu kerap hantar bekalan. Sehari perlu dua hingga tiga kali datang untuk beri bekalan air,” katanya lagi,” tambahnya.
Dimaklumkan LRA di Semenyih sehingga kini masih belum boleh beroperasi kerana paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga ton setakat 6.30 pagi tadi.
Pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan agensi-agensi berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor sedang giat menjalankan kerja kerja pembersihan lurang kumbahan berhampiran Loji Rawatan Kumbahan yang mana menjadi punca menyebabkan pencemaran bau disedut keluar.
Penutupan Loji Rawatan Air Semenyih turut menyebabkan Pusat Rawatan Air Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut terpaksa dihenti tugas pada jam 3.30 petang semalam.
Pemberhentian sementara dua loji ini menyebabkan jumlah kawasan semakin meningkat iaitu 366 kawasan dan 336,930 akaun pengguna.- MalaysiaGazette