GEORGE TOWN – Kesemua 966 pengunjung yang terkandas di Bukit Bendera, dekat sini selepas perkhidmatan keretapi funikular di pusat pelancongan itu tergendala sejak 8 malam tadi, berjaya dibawa turun ke stesen bawah dengan selamat awal pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa dibawa turun menaiki pacuan empat roda ke Taman Botani sebelum dibawa menggunakan bas ke stesen bawah Bukit Bendera untuk mereka mengambil kenderaan dan pulang ke destinasi masing-masing.
“Secara keseluruhannya seramai 966 pengunjung terjejas membabitkan 793 orang di stesen atas yang tidak boleh turun selepas keretapi funikular itu terkandas di stesen tengah yang mana ketika itu seramai 173 lagi berada di stesen tengah tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Katanya operasi membawa turun pengunjung yang terjejas itu bermula pukul 8.30 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.03 pagi serta kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
Semalam Perbadanan Bukit Bendera (PHC) dalam satu kenyataan berkata keretapi funikular tersebut tergendala akibat masalah kerosakan sistem. – MalaysiaGazette