KANGAR – Dalam usaha membantu penduduk tempatan menjelang pembukaan sesi persekolahan, sebuah kedai di sekitar sini sanggup melupakan kesempatan mengaut untung banyak, dan sebaliknya menawarkan pakaian seragam sekolah pada harga cukup rendah, antara RM5 dan RM29.90.
Pemilik kedai berkenaan, Nga Soon Yom, atau lebih mesra dengan panggilan “Alex” berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada orang kampung berpendapatan rendah yang mempunyai ramai anak, dan setiap hujung tahun mereka biasanya akan datang membeli kelengkapan sekolah di kedainya NK Ceria Enterprise itu.
“Buat apa ambil untung berlipat kali ganda, kita peniaga perlu juga fikir pasal pelanggan kerana bukan semua orang ada duit ketika kos sara hidup rakyat semakin meningkat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di Lorong Medan, dekat sini hari ini.
Alex, 50, berkata, beliau mengunakan pendekatan tidak mengambil untung berlipat kali ganda kerana menginsafi keadaan beliau sendiri yang pernah hidup susah menjadi perkerja am di kedai berkenaan, yang baharu dibelinya tahun lepas.
“Saya pernah jadi ‘kuli’ di kedai ini selama 20 tahun dan tuan kedai asal menjual barang serta kedai ini kepada saya dengan harga rendah, jadi buat apa saya ambil untung lebih hingga membebankan orang lain,” katanya.
Tinjauan Bernama di beberapa kedai di sekitar bandar Kangar mendapati sehelai baju kemeja sekolah dijual pada harga antara RM15 dan RM31 bergantung kepada jenis kain, saiz dan jenama.
Seorang pelanggan yang ditemui, Hairaiti Osman, 37, dari Kuala Perlis berkata beliau menjadi pelanggan tetap kedai itu kerana harga yang ditawarkan adalah rendah dan berkualiti berbanding kedai lain.
“Saya beli dua pasang baju untuk anak tunggal saya yang akan memasuki tahun dua nanti,” katanya suri rumah itu sambil melihat anaknya mencuba baju sekolah.
“Suami saya hanya berkerja sebagai nelayan dan saya pula tidak mempunyai pendapatan tetap… nasib baik ada kedai yang menawarkan harga yang rendah , sedikit sebanyak dapat meringgankan beban kami sekeluarga” katanya. – Bernama