Home Utama Warga Bukit Aman macam dianaktirikan, kata KPN

Warga Bukit Aman macam dianaktirikan, kata KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyaksikan penyerahan tugas jawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi dari Datuk Seri Tajudin Md Isa (kiri) kepada Datuk Seri Rosli Ab Rahman pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja lesu dan daif malah dewan pun tiada untuk dilangsungkan program serta istiadat polis selain ruang letak kereta yang amat terhad.

Itu keadaan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang juga tidak dilengkapi padang kawad sehingga mengehadkan aktiviti kawad anggota dan pegawai pasukan keselamatan negara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sehubungan itu menggesa kerajaan menyegerakan keulusan beberapa projek pembangunan yang telah dikemukakan oleh pihaknya terutama Jabatan Logistik dan Teknologi.

Beliau berkata, buat masa ini anggota polis terpaksa menumpang tempat letak kereta serta mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menyewa dewan setiap kali mahu menganjurkan sebarang program dan istiadat polis.

Untuk mengatasi masalah tersebut, katanya, beliau telah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan dan juga menterinya Anthony Loke Siew Fook untuk memuktamadkan pembinaan sebuah stesen komuter berdekatan Bukit Aman untuk memudahkan mereka berulang-alik ke tempat kerja.

“Anthony saya jumpa dan berbincang mengenai cadangan stesen komuter itu dua kali di sebuah restoran Nasi Kandar D’Kayu di KL Sentral dan lakaran pelan pembangunan stesen itu berhampiran terowong sebelah pintu masuk kedua Bukit Aman dan Jabatan Kesihatan pun sudah ada.

“Selepas projek ini dimuktamadkan dan disiapkan dalam masa dua tahun nanti pada 2022 ia akan memberi manfaat dan keselesaan khususnya kepada angggta, pegawai dan kakitangan awam di Bukit Aman,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau terdahulu hadir ke Mess Pegawai Kanan Bukit Aman dan menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Logistk dan Teknologi; serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, kemudahan tersebut juga boleh dimanfaatkan oleh kakitangan di jabatan-jabatan yang berhampiran dan ditambah kemudahan jajaran jalan kaki menghubungkan Bukit Aman di pintu sebelah Menara Kedua dengan stesen komuter baharu nanti.

Beliau juga akan meminta pengarah baharu Jabatan Logistik dan Teknologi supaya berunding dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan bagi memberi perhatian serius terhadap tuntutan dewan besar istiadat, tempat letak kereta luas serta dataran padang kawad yang sempurna.

Menurutnya, kewujudan dewan baharu nanti akan memudahkan segala aktiviti dan istiadat rasmi Bukit Aman dilaksanakan tanpa perbelanjaan besar menempah dewan di luar.

“Kalau dibandingkan dengan apa yang dimiliki tentera dalam aspek berkenaan serba canggih, kami PDRM sebenarnya macam dianaktirikan.

“Kami bukan minta hospital canggih seperti tentera cuma jika warga keselamatan PDRM pun diberi pertimbangan berkongsi kemudahan di hospital tentera selepas ini, itu satu langkah penghargaan terbaik dan dengan belanjawan 2020 harap diberi tumpuan kepada logistik PDRM.

“Bukit Aman sudah lesu lama, kita perlukan keluasan tempat letak kereta lebih 1,200 unit termasuk mudah-mudahan 50 lot untuk warga media boleh memanfaatkan semua pihak bersama warga Bukit Aman,” katanya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kerajaan umno kepada ph banyak perkara perlu diubah suai. dah lah hutang menggunong. kos ubah suai pula meningkat.

Comments are closed.