LONDON – Pengendali baharu Everton Carlo Ancelotti memberitahu bahawa membawa kelab Merseyside itu bertanding dalam Liga Juara-Juara adalah matlamat jangka panjangnya, satu projek yang sama seperti kejayaan di Paris Saint Germain lapan tahun lalu.
Ancelotti, salah seorang pengendali paling berjaya di Eropah, meninggalkan Napoli bulan ini dan menggantikan Marco Silva yang dipecat Everton susulan kekalahan 5-2 kepada Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Pengendali berusia 60 tahun itu menjulang trofi ketika berada di AC Milan, Chelsea, PSG, Real Madrid dan Bayern Munich.
Tetapi dia berdepan cabaran sukar untuk membentuk semula Everton, yang kini di tangga ke-15 liga dan perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas bagi menyertai kejuaraan Eropah itu.
“Liga Juara-Juara adalah matlamat jangka panjang. Tiada ada apa yang mustahil.
“Memang benar saya mengendali kelab-kelab besar. Di PSG projeknya amat bagus. Saya rasa di sini juga sama,” kata Ancelotti.
Ancelotti membimbing PSG menjuarai liga buat pertama kali dalam tempoh 19 tahun pada musim 2012-13 dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Pengendali dari Itali itu kagum dengan cita-cita Everton selepas kelab itu menghantar cadangan permohonan untuk stadium baharu Bramley-Moore Dock berkapasiti 52,000 penonton. – MalaysiaGazette