Home Politik Pas gesa KPN dedah siasatan terhadap Dong Zong

Pas gesa KPN dedah siasatan terhadap Dong Zong

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya mendedahkan hasil siasatan yang dibuat terhadap Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kepada umum.

Jika tidak, ketidaktegasan pihak berkuasa ke atas Dong Zong itu nanti akan menyebabkan persatuan tersebut semakin berani, seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan, kata Ketua penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad.

Beliau berkata, menerusi pendedahan tersebut ia sekaligus dapat memastikan himpunan yang dijadual hendak diadakan pada Sabtu ini dapat dibatalkan.

“Dong Zong adalah pertubuhan yang bersifat keras, melampau dan tiada toleransi, malah sejarah juga pernah menyaksikan pemimpinnya dilucutkan kerakyatan satu ketika dulu.

“Pelajaran Jawi hendak diperkenalkan hanyalah tiga muka surat yang dimasukkan di dalam buku teks dan usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Perjuangan Dong Zong sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dalam masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamaruzaman berkata, Pas konsisten dengan pendirian berkaitan isu-isu yang boleh menggugat keharmonian negara seperti isu pengganas LTTE, penyebaran ideologi komunis dan abu mayat Chin Peng yang sehingga hari ini masih lagi belum reda.

Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada Sabtu ini untuk membantah penerapan pengenalan tulisan Jawi dalam subjek teras iaitu Bahasa Melayu sekolah vernakular.

Pertubuhan berkenaan bagaimanapun dilaporkan mengalakkan supaya pengenalan tulisan Jawi dijalankan dalam bentuk aktiviti kokurikulum. – MalaysiaGazette