Home Nasional PTPTN jangka kadar dividen SSPN yang kompetitif tahun ini

PTPTN jangka kadar dividen SSPN yang kompetitif tahun ini

PTPTN berterima kasih kepada kerajaan Sarawak prihatin bantu anak negeri bayar baki pinjaman.

BUTTERWORTH – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkakan pengagihan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang kompetitif pada tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan prestasi semasa yang memberangsangkan.

“Sehingga suku ketiga 2019 ada 4.26 juta akaun yang telah dibuka sejak pelancaran. Daripada segi akaun baharu pada tahun ini, sebanyak 347,709 akaun telah dibuka sehingga 30 Sept. Daripada segi jumlah tabungan yang kita uruskan juga hampir RM5 bilion setakat ini. Ini satu pencapaian yang memberangsangkan bagi saya.

“Saya rasa dividen kita akan menjadi satu dividen yang kompetitif berbanding produk-produk lain yang ada di pasaran. Setakat ini daripada segi puratanya ialah sekitar empat peratus setahun. Kita akan umumkan dalam pertengahan Januari nanti berapa dividen yang kita akan berikan untuk tahun 2019,” katanya kepada pemberita selepas program Kembali Ke Sekolah di sini Isnin malam.

Pada program itu , Wan Saiful turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM72,400 untuk diagihkan kepada penerima yang layak di Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk mencapai sasaran kutipan tabungan sebanyak RM1 bilion pada tahun ini dan beliau yakin jumlah itu dapat dicapai penghujung tahun ini.

“Kita akan tengok dalam masa dua minggu lagi, sasaran ini boleh capai atau tidak. Pegawai-pegawai PTPTN sedang bertungkus lumus memastikan sasaran RM1 bilion ini tercapai. Kutipan SSPN pada tahun lepas mencatat rekod RM1.13 bilion. Kita sedang usaha untuk mengatasi rekod itu tahun ini,” katanya.

Wan Saiful berkata penekanan PTPTN pada masa ini adalah menggalakkan lebih ramai menabung dalam SSPN dan seterusnya menikmati pelbagai keistimewaan serta insentif yang ditawarkan.

“Alhamdulillah dengan kempen penabungan yang kita jalankan setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan. Saya menyeru rakyat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya insentif yang kita berikan di PTPTN. Bagi insentif pelepasan cukai terutama sehingga 31 Dis, mereka yang menyimpan dalam SSPN akan mendapat pelepasan cukai sehingga maksimum RM8,000.

“Ini jumlah yang cukup tinggi daripada segi pulangan yang mereka perolehi. Selain itu, mereka juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melebihi RM1.1 juta yang ditawarkan menerusi Cabutan Hadiah SSPN 2019 termasuk kereta Proton X70 Premium di mana pemenangnya akan umumkan Januari ini,” katanya. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.