Home Nasional Kenapa Dong Zong hendak jadikan isu pembelajaran Jawi masalah negara?

Kenapa Dong Zong hendak jadikan isu pembelajaran Jawi masalah negara?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media berkenaan Belanjawan 2020 pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR –  Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang akan menganjurkan kongres bagi membantah pembelajaran Jawi di sekolah vernakular pada Sabtu ini, diminta tidak meneruskan niat mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menasihatkan agar perkara itu dibawa ke meja rundingan dan mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima ramai.

“Eloklah dibawa bincang dan kembali ke meja rundingan. Saya menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres ini agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid berkata demikian merujuk kepada langkah Dong Jiao Zong yang menggesa pertubuhan Cina lain di negara ini supaya mendaftar untuk menghadiri kongres berkenaan yang dijadual berlangsung di Kolej New Era di Kajang.

Dong Jiao Zong mendakwa kongres itu dianjurkan untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Mengulas lanjut, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, adalah tidak logik mendakwa pembelajaran Jawi tersebut  mahu mengislamkan pelajar bukan Islam.

Sedangkan, katanya, pelaksanaan itu hanya sekadar untuk memperkenalkan warisan budaya dan sejarah negara.

“Mengapakah Jawi dijadikan masalah negara? Pihak yang menentang sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen kerana tindakan mengadakan bantahan melalui kongres dan sebagainya akan mendapat reaksi negatif daripada yang menyokongnya.

“Atas reaksi spontan yang lebih memudaratkan inilah maka satu keputusan penuh berhikmah perlu dibuat,” katanya lagi.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk Dong Zong, sama ada yang menentang mahupun yang menyokong untuk tidak meneruskan penganjuran “sidang” berkaitan pengajaran tulisan Jawi.

Presiden PKR itu bimbang tindakan berkenaan akan “menghangatkan suhu politik dan kaum” di negara ini.

Bagaimanapun, Dong Zong tetap bertegas untuk meneruskan hasrat menganjurkan kongres berkenaan. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.