HYDERABAD – Seorang peragut didapati menyewa sebuah apartmen mewah dengan sewa Rs 30,000 (AS$421) sebulan di Chandanagar sejak tahun 2016.
Dia juga menghantar dua orang anaknya di sebuah sekolah antarabangsa di bandar ini dengan yuran tahunan Rs 2 lakh (AS$2,809).
Selain itu, peragut ini turut berjudi dan melaburkan dalam pasaran satta dan terlibat dalam pertarungan kriket.
Kemewahan Thanedar Singh Kushva, 33, terdedah selepas dia ditahan pada hari Isnin ketika meragut penumpang kereta api.
Kushva mula melakukan aktiviti meragut sejak tahun 2004 dan mangsanya adalah penumpang kereta api jarak jauh.
Lelaki ini dipercayai telah mencuri sejumlah wang tunai dan barang kemas bernilai Rs 2 crore (AS$280,908.80) dan terlibat sekurang-kurangnya 400 kesalahan, menurut Supritendan B Anuradha.
Selepas ditahan, polis menemui wang tunai berjumlah Rs 13 lakh (AS$18,259) dan barangan kemas bernilai Rs 27 lakh (AS$37,922).
Modus operandinya mudah iaitu hanya menggunakan pisau cukur untuk memotong poket-poket mangsa.
“Suspek akan masuk ke dalam kereta api, sama ada membeli tiket untuk tempat duduk yang ditempah atau sebaliknya.
“Dia akan memastikan dia dapat mencuri wang tunai sekurang-kurangnya Rs 20,000 (AS$281) dalam setiap perjalanan dan secara purata dia melakukan lapan perjalanan setiap bulan,” kata polis.
Kushva yang berasal dari Uttar Pradesh pernah ditahan polis pada tahun 2007 dan 2011.
Dia pernah dituduh terlibat dalam kes rompakan di Vikarabad pada tahun 2019.
Tangkapan terbaru ini berlaku selepas polis ternampak motor yang Kushva dan kakaknya, Arun digunakan, diletakkan di bawah jambatan.
Apabila kedua-duanya kembali untuk mengambil motor tersebut dan ternampak polis, mereka cuba melarikan diri tetapi Kushva ditangkap. – MalaysiaGazette