Home Nasional Suspek pukul pekerja hotel Bukit Bintang sudah dikesan

Suspek pukul pekerja hotel Bukit Bintang sudah dikesan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas menyiasat insiden seorang pekerja hotel yang dipukul suspek di Bukit Bintang pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, insiden itu berlaku pada 22 Disember lalu sekitar pukul 4 pagi.

Mengikut fakta kes katanya, pengadu yang juga mangsa semasa kejadian bekerja sebagai penjaga di kaunter DR Hotel Bukit Bintang.

“Semasa bekerja pengadu (mangsa) menerima satu panggilan telefon dari seorang pelanggan hotel berkenaan iaitu suspek meminta untuk bertukar ke bilik lain dengan alasan bilik yang sedang diduduki kotor disebabkan botol arak bertaburan.

“Pengadu (mangsa) telah menyatakan untuk membuat pertukaran bilik pelanggan (suspek) perlu menjelaskan sejumlah wang bagi proses itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Suspek tidak berpuas hati dengan jawapan pekerja berkenaan,  bertindak turun bersama rakannya  ke kaunter hotel lalu memukul pengadu dan rakan sekerjanya.

“Selepas kejadian, suspek dan rakannya segera beredar meninggalkan hotel itu.

“Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan untuk menjejaki suspek dan rakannya yang menyerang mangsa.

“Buat masa ini seorang suspek yang terakam wajah dalam video CCTV itu telah dikesan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya tanpa mengulas lanjut.-MalaysiaGazette