Home Nasional Imigresen tidak iktiraf skuad luar untuk banteras warga asing

Imigresen tidak iktiraf skuad luar untuk banteras warga asing

Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Kuasa untuk memburu dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam sahaja.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengingatkan orang ramai dan mana-mana pertubuhan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kuasa sendiri.

Kenyataan beliau itu susulan penubuhan ‘Skuad Sukarelawan Putra’ oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang menawarkan 1,000  sukarelawan kepada pihak Imigresen Malaysia dan polis untuk membantu memburu pendatang haram.

“JIM sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI termasuk pelancong asing yang tinggal lebih masa di negara ini,” kata Khairul Dzaimee dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, sejak Januari hingga 24 Disember lalu, Imigresen telah melaksanakan 17,328 operasi penguatkuasaan dan hasilnya seramai 50,175 PATI serta 1251 majikan telah ditahan.

Menurutnya, setiap PATI yang ditangkap akan melalui proses siasatan, dakwaan dan hukuman sebelum diuris ke negara asal.

“Orang ramai boleh membantu JIM dengan menyalurkan maklumat yang tepat tentang PATI supaya tindakan penguatkuasaam dapat diambil.

“Walaubagaimanapun orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

“Berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63 kuasa untuk menjalankan tangkapan adalah terhad kepada pegawai Imigresen, polis dan kastam sahaja,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

Putra tawar sukarelawan buru PATI