Home Politik Pas curiga pemansuhan elaun krtikal bermotif politik

Pas curiga pemansuhan elaun krtikal bermotif politik

Pemberian bonus serta insentif kepada kakitangan kerajaan hanya akan dilaksanakan seadainya mempunyai pendapatan berlebihan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara ketika ini.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi kakitangan perkhidmatan awam mempunyai motif politik.

Ketua Pemuda parti itu, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia jelas tidak akan dapat mengukuhkan perkhidmatan, sebaliknya mencurigakan apabila keputusan itu seolah-olah didalangi DAP yang sebelum ini pernah bersuara tentang perkhidmatan awam dalam negara.

“Pekeliling baharu kerajaan persekutuan berkaitan pemberian elaun perkhidmatan awam hakikatnya tidak dilihat sebagai satu langkah pengukuhan, sebaliknya dicurigai menghala ke satu motif berkaitan politik.

“Secara khusus, sentimen banyak pihak melihat ia berada dalam kerangka untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam di negara ini.

“Walaupun dinyatakan untuk mencapai pelbagai kedinamikan, kefleksibelan dan kerelevanan bersama prinsip-prinsip digariskan, namun bayangan DAP yang pernah vokal dalam perkara ini tidak semudahnya dihilangkan.

Ia sangat disangsikan sebagai antara langkah-langkah yang akhirnya mencapai tujuan DAP di sebalik tindakan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, keputusan itu juga seolah-olah merupakan kesinambungan terhadap tindakan Kementerian Kewangan memansuhkan peruntukan kepentingan negara dengan menyatakan bahawa ia merupakan langkah rasionalisasi negara.

Namun jelas beliau, ia hanya akan menjadikan kumpulan tertentu mangsa seterusnya merumitkan keadaan.

“Ianya juga adalah lanjutan dari tindakan yang terdahulu telah dibuat terutama menerusi Kementerian Kewangan mengurang atau memansuhkan peruntukan kepada kepentingan-kepentingan dalam negara.

“Di sebalik kononnya rasionalisasi cuba dilaksanakan, ia sebenarnya telah memangsa, melemah dan merumitkan banyak perkara,” katanya lagi.

Dengan realiti negara yang sedang membangun pesat seiring dengan pertambahan penduduk, Khairul menyifatkan bilangan penjawat awam belum mencukupi dan perlu dihargai tugas mereka.

Justeru beliau turut menggesa kerajaan mengkaji semula hasrat untukĀ  menasuhan elaun kritikal.

“Kebanyakan mereka masih bekerja dengan bebanan berlebihan, sedang kadar imbuhan yang cuma seadanya berbanding kos sara hidup kini.

“Kami melihat belum masanya negara membicarakan mengenai kawalan saiz perkhidmatan awam dan menyatakan kebersamaan dengan para penjawat awam.

“Kami menggesa kerajaan mengkaji perjawatan yang memerlukan elaun berkaitan, bukan pemansuhan atau ketidakselarasan yang bakal melemahkan motivasi perkhidmatan,” tambahnya.

Semalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan berkata, BIPK yang melibatkan pelantikan baharu akan dilaksanakan pada 1 Januari 2020.

Pemansuhan ini dilaporkan turut terpakai kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kesemua 33 skim perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette