KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ibrahim Ali menemplak cadangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) apabila menyarankan NGO Melayu itu mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum menetang Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mahu mengadakan kongres himpunan membantah tulisan Jawi pada Sabtu ini.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, kedua-dua pertubuhan itu sepatutnya menasihati Dong Zong agar mereka membatalkan perhimpunan yang hendak diadakan dan bukannya mengajar pemimpin Melayu dalam hal itu.
Katanya, adalah tidak wajar untuk NGO sesama NGO Melayu mengadakan rundingan terhadap perkara tersebut disebabkan apa yang dibisingkan mengenai tindakan Dong Zong itu telah menyentuh agenda nasional.
“Ia mengenai agenda nasional. Agenda pendidikan. Nak ajar tulisan jawi empat muka surat pun isu. Produk makanan bukan Islam guna tulisan Jawi mereka tak bising. Poodah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ibrahim berkata, pemimpin Melayu telah lama bersabar dan tindakan mereka terhadap Dong Zong adalah selepas melihat NGO itu kini semakin keterlaluan.
Ujarnya, pemimpin-pemimpin Melayu boleh berlapang dada sekiranya Dong Zong tidak bersikap demikian.
“Apa jadi sibuk sangat. Kita orang Islam tertakluk kepada cakap sabar sebahagian daripada iman.
“Jangan buat itu ini. Kita kena sabar. Tapi takkan nak sabar orang kencing atas kepala kita. Orang hina raja, perlekeh agama Islam kita.
“Saya terima baik kenyataan presiden ABIM yang disokong PKPIM demi menjaga keselamatan negara. Saya berlapang dada kalau Dong Zong batalkan hasrat mereka,” ujarnya.
Semalam, Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, menegaskan muafakat cara Malaysia adalah duduk bersemuka dan saling berbincang.
Katanya, NGO Melayu Islam tidak wajar secara melulu meminta Dong Zong mebatalkan hasrat untuk mengadakan himpunan membantah tulisan Jawi yang dijadualkan diadakn Sabtu ini.
Perkara sama turut disuarakn oleh Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli apabila menyatakan pihaknya tidak ada perancangan untuk melakukan himpunan atau kongres balas setakat ini.
Malah, beliau menggesa semua pihak menghentikan polemik isu tulisan Jawi secepat mungkin dan menghormati keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah.
Meskipun berpandangan tulisan Jawi merupakan warisan negara yang harus dipelajari dan dipelihara oleh semua kaum, katanya, sebarang pertikaian, wajar kembali ke meja rundingan.- MalaysiaGazette