KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden penduduk Orang Asli dari Kampung Kelaik, Pos Blau yang ditinggalkan oleh pemandu kontraktor di simpang Pos Blau bersama mayat anaknya.
Ketua Pengarah Jakoa, Prof Dr Juli Edo berkata, tindakan sewajarnya akan segera diambil dari hasil siasatan
tersebut yang dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.
“Jakoa ingin mengesahkan bahawa laporan mangsa mengenai insiden itu telah diterima Jabatan ini pada 26 Disember 2019.
“Pada kesempatan ini, Jakoa ingin menegaskan bahawa kebajikan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi keutamaan
kami dan Jabatan sentiasa peka dengan segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli,” tegasnya.
Semalam, sebuah akhbar tempatan mendedahkan seorang lelaki Orang Asli membuat laporan polis selepas mendakwa Jakoa dan pemandu kontraktor cuai dalam urusan menghantarnya ke kampung.
Ahee Angah, 22, dari Kampung Kelaik, Pos Blau berkata, pada malam Ahad lalu, isterinya bersalin di Hospital Kuala Krai (HKK) namun bayi mereka meninggal dunia.
Menurutnya, keesokan hari, dia membawa pulang mayat bayinya yang dilahirkan tujuh bulan untuk dikebumikan di kampung mereka.
Bagaimanapun, dakwanya, pemandu kontraktor yang diamanahkan Jakoa untuk menghantar saya ke kampung tidak memberikan kerjasama apabila memberitahu kerja penghantaran hanya dari Kuala Krai ke Gua Musang sahaja lalu meninggalkannya di simpang Pos Blau sahaja.
Alasan kontraktor itu, dia hanya hantar pesakit dan bukan mayat.
Disebabkan itu, lelaki berkenaan mendakwa dia perlu berjalan kaki sejauh 30 kilometer dengan mengendong mayat anak.
Namun, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, perkara ini hanyalah kerana salah faham. – MalaysiaGazette