Home Dunia Jepun hantar pesawat, kapal perang ke Timur Tengah

Jepun hantar pesawat, kapal perang ke Timur Tengah

TOKYO – Jepun akan menghantar sebuah kapal perang dan pesawat pengawal bagi mdelindungi kapal-kapalnya di Timur Tengah memandangkan keadaan di rantau yang membekalkan 90 peratus import minyak mentah negara itu masih rapuh, menurut dokumen yang diluluskan Kabinet.

Di bawah perancangan itu, sebuah kapal pemusnah yang dilengkapi helikopter dan dua buah pesawat pengawal, P-3C, akan dikerah bagi tujuan mengumpul maklumat dalam usaha memastikan perjalanan selamat untuk kapal Jepun yang melalui rantau tersebut.

Jika terdapat situasi kecemasan, arahan khas akan dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Jepun bagi membolehkan angkatan tentera menggunakan senjata untuk melindungi kapal yang dalam bahaya.

Pergeseran antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) meningkat sejak tahun lalu apabila Presiden Donald Trump menarik balik perjanjian nuklear antarabangsa 2015 dengan Iran dan mengenakan semula sekatan ke atas negara itu.

Pada Mei dan Jun lalu, berlaku beberapa serangan ke atas kapal dagang antarabangsa, termasuk kapal tangki Kokuka Courageous milik Jepun, di rantau itu yang mana AS menuding jari ke arah Iran. Tehran bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Jepun, sekutu AS yang mengekalkan hubungan mesra dengan Iran, memilih untuk melancarkan operasinya sendiri berbanding menyertai misi melindungi syarikat perkapalan di rautau itu yang diketuai AS.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Shinzo Abe memberi taklimat ringkas kepada Presiden Iran, Hassan Rouhani mengenai rancangan Tokyo untuk menghantar tentera laut ke wilayah teluk itu

Operasi itu akan meliputi laut dalam di Teluk Oman, utara Laut Arab dan Teluk Aden namun ia tidak melibatkan Teluk Hormuz, menurut dokumen yang diluluskan Kabinet.

Kerajaan Jepun menyasar untuk memulakan operasi pesawat pengawal pada bulan depan, manakala aktiviti kapal pemusnah mungkin bermula pada Februari ini, kata seorang pegawai Kementerian Pertahanan.

Operasi memastikan keselamatan kapal di teluk anjuran Eropah akan bermula bulan depan apabila kapal perang Perancis mula mengawal kawasan berkenaan. – Agensi

 

Source: Reuters/ad