Home Nasional Pemberian vaksin polio diaktifkan di Sabah hari ini

Pemberian vaksin polio diaktifkan di Sabah hari ini

Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Beberapa buah pasukan pemberi vaksin melibatkan 114 orang sukarelawan digerakkan untuk melaksanakan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) 2019/2020 bermula hari ini.

Pasukan berkenaan akan bertanggungjawab memberi maklumat kesihatan berkaitan polio dan memastikan ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak berumur bawah 5 tahun supaya hadir ke program berkenaan untuk mendapatkan imunisasi polio, kata Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lawatan rumah ke rumah untuk memberikan oral polio vaccine atau OPV kepada kanak-kanak yang layak akan dilaksanakan selepas ini secara berfasa, bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir daripada vaksin imunisasi polio.

Disamping itu katanya, pihaknya juga berharap agar ibu bapa memberi kerjasama dan sokongan kepada KIPS 2019/20 dengan membenarkan anak-anak mereka mendapatkan dua dos imunisasi OPV.

“Hanya dengan imunisasi sahaja akan dapat melindungi anak-anak dari dijangkiti virus polio dan mencegah mereka dari kelumpuhan kekal.

“Langkah pencegahan polio ini juga penting bagi Malaysia mendapatkan semula pengiktirafan negara yang bebas polio dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam kenyataan terbaharu hari ini.

Tambah beliau, KIPS 2019/20 akan dimulakan di Daerah Tuaran dan dilanjutkan ke seluruh Sabah secara berfasa dengan mensasarkan anak-anak yang berumur bawah 5 tahun diberikan dua dos imunisasi OPV menjelang Jun 2020, iaitu selang masa antara dos pertama dan dos kedua selama empat minggu.

Pelancaran kempen KIPS 2019/20 merupakan kempen Imunisasi Polio secara besar-besaran KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk membendung penularan jangkitan Polio di Malaysia, khususnya di negeri Sabah.

KIPS dijalankan berikutan satu kes jangkitan virus polio di negeri ini yang telah diumumkan oleh KKM melalui satu kenyataan akhbar pada 8 Disember 2019 melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran.

Justeru katanya, kempen Imunisasi Polio Sabah ini menyasarkan semua kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun di semua daerah di Sabah. – MalaysiaGazette

+ posts