Home Utama Perdana Menteri setuju tangguh mansuh elaun kritikal, kata Syed Saddiq

Perdana Menteri setuju tangguh mansuh elaun kritikal, kata Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk menangguhkan keputusan menamatkan pemberian Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada penjawat awam profesional yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

“Saya baru lepas berbincang dengan YAB @chedetofficial berkenaan isu “Allowance Critical”.

“Alhamdulillah. YAB PM bersetuju untuk tangguhkan pekeliling baru & untuk membincangkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet yang akan datang,” katanya di Twitter beliau hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini lantang menyarankan supaya elaun ahli politik dan menteri yang dipotong, bukannya elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Ahli Parlimen Muar itu turut memendekkan cuti tahunan dan memulangkan peruntukan yang diterima sebagai elaun percutian, selain mengurangkan 10 peratus gajinya.

JPA menerusi satu pekeliling yang dikeluarkan Jumaat lalu, antara lain mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun hadapan.

Ia termasuk BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Suhaime Mahbar menjelaskan, BIPK diwujudkan pada 1992 berikutan kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu ketika itu yang bertujuan untuk menarik graduan berkhidmat dengan kerajaan. – MalaysiaGazette