Home Nasional Walaupun batal, tapi AGRA akan terus pantau Dong Zong

Walaupun batal, tapi AGRA akan terus pantau Dong Zong

Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Dong Zong disifatkan sebagai biadap kerana berani menunggu sehingga saat akhir keputusan mahkamah untuk akur dengan desakan pelbagai pihak supaya tidak meneruskan persidangan berhubung pengenalan tulisan Jawi esok.

Persidangan yang dijadual berlangsung di Kolej Universiti New Era itu telah dibatalkan selepas mendapat perintah mahkamah.

Bagaimanapun Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir memberi amaran seandainya melihat sebarang usaha oleh Dong Zong meneruskan agenda licik mereka, pihaknya dan NGO nasionalis akan turun menentang sehingga mereka tidak sesekali berlagak samseng dan bersikap cauvinis di tanah air ini.

Beliau menyambut baik usaha polis yang mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan persidangan itu.

Namun, katanya, AGRA tidak akan sesekali berundur menekan Dong Zong untuk tidak memperlekehkan semangat kebangsaan, apatah lagi mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negara utamanya soal Jawi ini.

“Dengan ini, mewakili rakan seperjuangan yang mendokong himpunan balas ke atas Dong Zong, AGRA ingin mengucapkan terima Kasih dan tahniah kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menjaga kredibiliti PDRM selaku badan penguatkuasa yang menjaga kedaulatan negara! Syabas PDRM!,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tetapi, pada masa sama AGRA berharap usaha pihak polis ini bukan bersifat sementara tetapi semua status siasatan ke atas Dong Zong dipercepatkan bagi mengelakkan sentimen hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa itu.

Malah, AGRA menyeru semua pihak untuk terus bersamanya dan badan-badan lain mengecam dan memberikan tekanan ke atas Dong Zong kerana jelas niat mereka melakukan khianat dan membawa kucar-kacir kepada negara.

“AGRA, GPMS dan Perkasa bersama lain-lain gabungan masyarakat dan orang awam yang cintakan negara serta mendaulatkan Perlembagaan dan menjunjung Rukun Negara sama sekali tidak akan berganjak untuk melawan pengkhianatan Dong Zong andai diteruskan Kongres ‘Khianat’, Anti-Jawi tersebut,” ujarnya.

Rentetan daripada perintah mahkamah itu, Mohd Ashraf berkata, AGRA bersedia bekerjasama dengan pihak polis untuk membatalkan ‘ himpunan #REMPUH2812 pada awal pagi esok demi kepentingan orang awam.

Dalam pada itu, AGRA akan mengadakan pertemuan bersama pihak Menteri Pendidikan bagi memaklumkan kepada kementerian itu untuk tidak tunduk lagi atas desakan murahan Dong Zong.

AGRA juga dalam proses mengumpul segenap bukti pengkhianatan Dong Zong supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengambil tindakan ke atas kekacauan yang selama ini dimulakan mereka. – MalaysiaGazette

Persidangan bantah Jawi batal, polis dapat perintah mahkamah