KUALA LUMPUR – Walaupun telah bekerja makan gaji lebih 17 tahun namun ia tidak menghalangnya memulakan kehidupan baharu dengan memulakan perniagaan sendiri.
Disebabkan sukar mendapatkan pekerjaan baharu selepas diberhentikan kerja dalam tempoh kurang 24 jam, Siti Kamilah Mustapha, 40, kini mempunyai ‘pekerjaan baharu’ dengan
memulakan perniaagan dalam talian dengan menjual pencuci mulut terkenal dari Pantai Timur iaitu biji nangka dan makanan jalanan terkenal Korea Selatan iaitu corndog mozarella.
Bekas Editor Kosmo! Online yang menetap di Bukit Subang, Shah Alam itu berkata, perniagaan itu bermula secara sambilan dua minggu sebelum syarikat Kumpulan Utusan menutup operasi pada 9 Oktober lepas.
“Ketika syarikat berdepan masalah pembayaran gaji beberapa bulan sebelum itu, saya mendapat idea untuk membuat nasi minyak bungkus setiap pagi, ketika itu saya mula buat 10 bungkus nasi setiap hari yang diletakkan di dua gerai berdekatan kawasan rumah di Bukit Subang dengan harga RM4 sebungkus,” jelasnya yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu baru-baru ini.
Siti Kamilah menjelaskan, selepas syarikat menutup operasi pada 9 Oktober itu, dia tidak berfikir panjang lagi lalu meneruskan secara serius berniaga dengan mencuba nasib membuat biji nangka pula bagi mempelbagaikan menu masakan.
“Saya memang suka makan biji nangka, masa bulan Ramadan memang susah nak cari orang jual di Bukit Subang, jadi dari situ saya dapat idea. Saya telefon ibu mertua di Kuala Terengganu
tanya resepi dan saya cuba.
“Alhamdulillah percubaan pertama saya berjaya apabila jiran yang
saya bagi cuba kata sedap,” jelasnya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Ujarnya, biji nangka dijual RM2.50 sebekas dan pada awalnya ia jual di sebuah restoran di Denai Alam setiap hari dan turut dijual melalui laman sosial Instagram @nasiminyakmama yang turut membuat penghantaran pesanan di sekitar Selangor dan Kuala
Lumpur.
Tidak mahu tertumpu kepada nasi minyak bungkus dan biji nangka sahaja, Siti Kamilah mendapat idea untuk membuat menu baharu lagi iaitu corndog mozarella sejuk beku yang dijual pada harga RM3.50 sebatang.
“Sekarang makanan jalanan terkenal dari Korea Selatan itu terkenal di negara ini, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang mencuba nasib untuk turut sama menjualnya.
“Idea buat corndog ini saya dapat secara spontan sahaja, apabila saya beli dengan orang lain dengan harga yang mahal tapi tidak sedap, sebab itu saya belajar sendiri melalui YouTube resepi berkenaan dan selama seminggu saya cuba beberapa resepi.
“Sebenarnya resepi corndog ini ada dua versi iaitu dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat dan saya memilih untuk membuat versi Amerika Syarikat kerana ia lebih mudah untuk dibuat sejuk
beku, akhirnya kini corndog sejuk beku saya adalah makanan yang boleh dianggap paling laris di @nasikuningmama,” ujarnya lagi.
Kata Siti Kamilah, dia menggunakan pengalamannya sebagai wartawan sebelum ini untuk menarik minat pelanggan melalui media sosial.
“Jika pada awalnya kebanyakan pelanggannya adalah kawan-kawan dan saudara-mara sahaja, saya perlu memikirkan cara untuk mempunyai pelanggan baru melalui media sosial, kita perlu ada tanda pagar (hashtag) yang bagus, keterangan gambar atau status yang menarik minat dan ringkas bagi menarik minat netizen,” jelasnya.
“Ketika mendapat pesanan pertama melalui Instagram, saya gembira bukan kepalang, itu bermakna tanda pagar yang dibuat berjaya, saya masih ingat lagi pelanggan pertama itu adalah dari Setia Alam, Klang,” jelasnya.
Kata beliau, walaupun lebih 14 tahun makan gaji di Kosmo! perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang dalam perniagaan demi mendapatkan rezeki yang halal untuk
membantu suami dan kelangsungan hidup.
“Memang ia bukan satu perkara yang mudah sebab kita sudah biasa makan gaji, apabila berniaga sendiri tiada istilah off day. Kalau tidak berniaga maknanya hari itu tiada duit masuk.
“Saya sangat bersyukur kerana mendapat sokongan moral dari keluarga, saudara-mara dan teman-teman rapat yang sentiasa memberi semangat dalam keadaan yang sukar (hilang pekerjaan), memang berniaga ini bukan senang, ada hari saya patah semangat tetapi mereka sentiasa beri sokongan,” katanya.
Malahan katanya, selepas memulakan perniagaan, dia kini mempunyai ‘kawan-kawan’ baru yang terdiri daripada peniaga-peniaga sepertinya.
“Dulu, ramai kawan dalam kalangan wartawan dan pegawai media syarikat-syarikat besar kini, kawan baharu sahaja tidak kurang hebatnya yang terdiri peniaga dan usahawan kecil seperti
saya, mereka juga banyak memberi sokongan antara kami dalam berniaga,” ujarnya.
Siti Kamilah merupakan salah seorang daripada lebih 800 kakitangan Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang diberhentikan kerja akibat masalah kewangan syarikat itu pada 9
Oktober lalu.- MalaysiaGazette